Warga emas dikenali sebagai Pak Din yang ditemukan terlantar seorang diri di rumahnya di Kampung Mukim Bunut Susu, Pasir Mas. -Facebook Abbe Hae
SEORANG warga emas ditemukan terlantar seorang diri dalam keadaan badannya bergelumang dengan najis dan rumah yang bersepah di Kampung Mukim Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan.Menerusi perkongsian aktivis Pertubuhan Jejak Jalanan, Abbe Hae di Facebook, warga emas terbabit yang dikenali sebagai Pak Din, 61, hanya terbaring dipercayai kerana menghidap strok. "Si Tanggang generasi baru. Terima kasih buat OSC (one stop center) Balai Polis Bunut Susu dan wakil penduduk kampung kerana menghubungi Abbe," tulisnya pada perkongsian berkenaan.Ketika disapa Abbe Hae, warga emas tersebut mampu menjawab dengan baik namun pergerakannya sangat terbatas. "Anak berapa orang? Empat. "Kita pergi duduk tempat molek (elok), tak usah duduk di sini. Haa (iya)," demikian video perbualan singkat yang turut dikongsikan dalam hantaran berkenaan. Menurut Abbe Hae, dia akan membantu menguruskan keperluan segera Pak Din termasuk mendapatkan rawatan perubatan serta penempatan yang lebih selesa dan selamat. Dalam masa yang sama, aktivis itu menyeru masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya membuat spekulasi mengenai kisah warga emas itu."Masyarakat dah cerita segalanya. Ini bukan lesen untuk buat ayah begini. Full stop!" tulisnya di ruangan komen.Perkongsian berkenaan meraih lebih 1,300 shares selain dibanjiri ribuan komen warga maya yang sebak melihat keadaan warga emas tersebut yang tergamak dibiarkan seorang diri dalam keadaan sakit serta uzur."Semoga Allah balas esok-esok. Tergamaknya!"Allahuakbar… kenapalah buat ayah kamu macam tu."Alhamdulillah dah diselamatkan. Semoga dipermudahkan urusan pakcik tersebut," komen netizen.