suria

Pemandu Vellfire mengaku salah terajang, ugut bunuh warga emas… Diperintah bayar denda RM5,500

Saiful mengaku bersalah atas kekerasan yang dilakukan terhadap warga emas tersebut.

SEORANG peniaga didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Kajang selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencederakan serta mengugut bunuh lelaki warga emas dalam kejadian di Jalan Cheras–Hulu Langat, Ahad lalu.

Tertuduh, Saiful Adli Yusof, 52, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa menumbuk dan menendang bahagian muka serta badan mangsa, Liew Khoon Foo, 70, sehingga menyebabkan kecederaan.

Bagi pertuduhan kedua, Saiful Adli didakwa melakukan ugutan jenayah dengan ancaman mahu menyebabkan kematian terhadap mangsa sama.

Bagi kesalahan mencederakan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000.

Dia turut didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, mangsa yang memandu Proton Wira terlibat dalam kemalangan kecil dengan sebuah Toyota Vellfire kira-kira pukul 3.45 petang di lokasi berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Apa pasal lu lari?” - Pemandu Vellfire tendang warga emas empat kali, didakwa jadi punca kemalangan kecil

Mangsa kemudian meneruskan perjalanan menghala ke Taman Suntex kerana berasa takut, namun kenderaannya diekori MPV itu sebelum ditahan di persimpangan lampu isyarat kawasan berkenaan.

Tertuduh bertindak menendang kenderaan mangsa sebelum lelaki warga emas itu keluar dari kereta kerana bimbang akan keselamatannya.

Mangsa kemudiannya ditumbuk dan ditendang sehingga mengalami lebam di mata, bengkak di dagu serta pendarahan pada lidah.

Timbalan Pendakwa Raya, Aida Afiqah Shaari memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada orang ramai.

Sementara itu, peguam tertuduh, Muhammad Syakir Haznal merayu agar mahkamah mengenakan hukuman denda minimum dengan alasan anak guamnya merupakan pencari nafkah tunggal yang perlu menyara isteri, empat anak berusia antara 16 tahun hingga enam hari serta ibu mentua yang menghidap penyakit kronik.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM5,500 bagi kedua-dua pertuduhan atau penjara lapan bulan jika gagal menjelaskannya.

Pada Isnin, mStar melaporkan seorang lelaki ditahan selepas tular video memaparkan tindakan agresifnya menendang dan menampar warga emas yang berada di tempat duduk pemandu susulan kemalangan kecil tersebut.

Artikel Lain