suria

“Apa pasal lu lari?” - Pemandu Vellfire tendang warga emas empat kali, didakwa jadi punca kemalangan kecil

Warga emas itu ditendang sebanyak empat kali sepanjang rakaman video diambil.

TULAR video memaparkan seorang lelaki bertindak kasar dan kejam dengan menendang warga emas selepas mereka dipercayai terbabit dalam kemalangan kecil di Batu 9, Cheras, Selangor pada petang Ahad.

Dalam kejadian yang berlaku berhampiran lampu isyarat Pekan Suntex itu, pelaku dilihat menendang lelaki warga emas yang berada di tempat duduk pemandu sebanyak empat kali selain menampar mangsa sebelum menghempas pintu kenderaan.

Menerusi rakaman video yang dikongsikan orang awam, kedengaran lelaki tersebut menengking warga emas berkenaan susulan perlanggaran yang berlaku.

"Lu (kamu) sudah langgar orang, lu lari ke? Dia langgar orang, dia lari. Dia langgar kereta aku. Apa pasal lu lari?

"Orang sudah hon (arahan berhenti kenderaan) you dari traffic light," ujar lelaki berkenaan.

Dalam masa sama, individu yang membuat rakaman berkenaan cuba menenangkan keadaan apabila pelaku terus menendang mangsa.

"Jangan la pukul orang tua," ujarnya sambil merakam video.

Kelihatan beberapa individu yang berada di lokasi kejadian turut membantu meleraikan ketegangan yang berlaku dengan menarik suspek jauh daripada mangsa.

Turut kedengaran seorang lagi orang awam mengarahkan warga emas itu supaya segera membuat laporan polis di balai berhampiran.

Difahamkan, warga emas berusia 69 tahun itu memandu Proton Wira, manakala lelaki terbabit yang juga peniaga memandu Toyota Vellfire.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku pada pukul 4.49 petang.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa cedera dipukul dan diugut suspek di lokasi kejadian susulan kemalangan kecil membabitkan kedua-dua kenderaan.

Suspek berusia 52 tahun akhirnya ditahan pada pukul 11.30 malam di Kajang dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun kerana membuat ancaman jenayah.

Artikel Lain