TULAR satu hantaran yang memaparkan dua kanak-kanak perempuan duduk di hadapan kek yang berbeza saiz di sebuah restoran makanan popular.Berdasarkan gambar yang dikongsikan, kedua-dua mereka dipercayai sedang meraikan sambutan hari lahir berikutan terdapat lilin usia pada kek masing-masing. Malah pemilik akaun tersebut turut meluahkan rasa sayu dengan sikap anak sulungnya yang berusia lapan tahun."Kakak *******. Anak yang terlalu banyak berkorban, mama minta maaf, mama sayang kakak," luahnya di Thread.Ucapannya itu seolah-olah menggambarkan anak sulungnya 'beralah' kerana diberikan sepotong kek untuk sambutan hari lahir.Manakala, adiknya yang berusia enam tahun pula menerima sebiji kek untuk sambutan yang sama.Situasi yang berlaku itu membuatkan warga maya beranggapan bahawa si ibu seorang yang pilih kasih dan tidak memikirkan perasaan anak sulung.Mengulas mengenai sifat pilih kasih terhadap anak-anak, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan ia adalah perkara yang dibenci dalam agama."Perkara tersebut mengundang kebencian sesama keluarga terutamanya dalam kalangan adik-beradik."Setiap anak mempunyai hak masing-masing dan mereka berhak mendapatkannya daripada ibu bapa," jelasnya.Malah ada dinyatakan dalam hadis-hadis Rasulullah SAW bahawa terdapat satu bab khusus berkaitan pemberian hadiah oleh ibu bapa kepada anak-anak. Secara umumnya, ibu bapa diharuskan memberi hadiah atau sedekah kepada anak-anak selama mana pemberian itu diberikan secara adil dan sama rata antara setiap seorang anak. Namun, timbul permasalahan hukum apabila ibu bapa memberi hadiah pada sebahagian anak sahaja sehingga ia membiarkan sebahagian yang lain.Larangan ini jelas dapat dilihat dalam hadis riwayat Amir bahawa beliau berkata, aku mendengar Nu'man bin Basyir ketika berada di mimbar berkata: Ayahku memberi aku hadiah tetapi Amrah binti Rawahah (ibuku) mengatakan bahawa dia tidak akan meredhainya melainkan dia menjadikan Rasulullah SAW sebagai saksi kepadanya. Kemudian, ayahku datang berjumpa dengan Rasulullah SAW dan berkata: Aku telah memberikan hadiah kepada anakku daripada Amrah binti Rawahah tetapi dia memerintahkan aku untuk menjadikan kamu sebagai saksi. Rasulullah SAW bertanya: Adakah kamu telah memberikan hadiah seumpama ini kepada semua anak-anakmu?Beliau menjawab: Tidak. Baginda bersabda: Bertakwalah kamu kepada Allah SWT dan berlaku adillah kepada anak-anakmu. Ayahku kemudiannya pulang dan mengambil semula hadiahnya. (Riwayat Bukhari)Setiap anak mempunyai hak dan perlu dilayan sama rata oleh ibu dan bapa mereka. -Gambar hiasan AIDalam satu riwayat yang lain bahawa Nabi SAW menolak permintaan bapa Nu’man bin Basyir untuk dijadikan saksi. Rasulullah SAW bersabda: Panggillah orang lain untuk menjadi saksi selain aku, adakah kamu suka jika semua anak-anakmu bersamaan berbuat baik kepadamu?Beliau berkata: Ya. Nabi Berkata: Janganlah berbuat demikian (iaitu jangan memberikan hadiah kepada seseorang dengan mengecualikan yang lain). (Riwayat Muslim)Berdasarkan hadis tersebut, imam al-Nawawi menjelaskan bahawa setiap ibu bapa perlu berlaku adil kepada anak-anaknya dalam hal pemberian hadiah dan tidak melebihkan sebahagiannya atas sebahagian yang lain.Sekiranya ibu bapa tidak bersikap sama rata, maka hukum perbuatan itu adalah makruh meskipun hadiah yang diberikan adalah sah menurut syarak.Ini merupakan pandangan yang dipegang oleh imam al-Syafi’i, imam Malik dan sebahagian ulama fiqh.Kesimpulannya, ibu bapa hendaklah berlaku adil kepada setiap anak-anak mengikut kadar kemampuan tanpa perlu membeza-bezakan setiap seorang daripada mereka. Setiap anak berhak mendapatkan hak-haknya yang wajib dipenuhi oleh ibu bapa seperti mana setiap ibu bapa mempunyai hak yang wajib dilunaskan oleh anak-anaknya. Sekiranya kesempurnaan pada anak-anak menjadi kayu ukur kepada nilai keadilan dan kasih sayang nescaya perbuatan tersebut hanya akan menyebabkan kebencian dan perbalahan di antara keluarga dan adik beradik. Berkata sebahagian ahli ilmu bahawa pada hari kiamat kelak Allah SWT akan mempersoalkan ibu bapa tentang apa yang diperlakukan kepada anak-anaknya di dunia.