suria

Kakitangan restoran tersalah isi air panas dalam botol minuman, budak 3 tahun menggelupur selepas teguk… Lidah melecur teruk!

Keadaan lidah mangsa yang melecur teruk. -Foto Mothership/FB

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun cedera pada lidah akibat melecur selepas terminum air panas mendidih yang tersilap dimasukkan ke dalam botol air berpenebat miliknya.

Menurut bapa kanak-kanak itu, kejadian berlaku pada 1 Februari lalu ketika mereka sekeluarga mengunjungi sebuah restoran makanan segera di Ridout Tea Garden, Singapura.

Ketika itu, dia meminta kakitangan restoran mengisi air sejuk ke dalam botol air anak perempuannya, namun berlaku salah faham sehingga botol tersebut diisi dengan air panas.

Ujarnya, anak perempuannya terus menggelupur dan menutup mulut selepas meneguk air dari botol berkenaan. 

Ketika itulah mereka menyedari air di dalam botol tersebut merupakan air panas.

Menerusi catatan di Facebook pada 4 Februari, bapa mangsa berkata perkongsian berkenaan bertujuan sebagai peringatan kepada ibu bapa agar sentiasa berhati-hati. 

Dia turut mengakui kesilapan sendiri kerana tidak memeriksa terlebih dahulu sebelum memberikan botol minuman kepada anaknya.

Rakaman video ketika kejadian menunjukkan mangsa menangis kesakitan, manakala anggota Angkatan Pertahanan Awam Singapura turut dilihat memberikan bantuan. 

Keluarga mangsa kemudiannya membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut.

Akibat kecederaan itu, mangsa mengalami kesukaran untuk makan dan minum buat sementara waktu, namun keadaannya kini dilaporkan stabil. -Agensi

 

Artikel Lain