suria

[V] “Menggelupur kejut anak turun” - Penghuni apartmen terkejut, letupan mercun punca unit tingkat lapan terbakar

Letupan mercun menyebabkan sebuah unit kediaman di Bangi Avenue terbakar dalam kejadian Ahad malam.

PENDUDUK di sebuah apartmen di Persiaran Bangi Avenue, Kajang, Selangor, gempar apabila sebuah unit kediaman terbakar dipercayai berpunca daripada letupan mercun.

Kejadian sekitar pukul 10.42 malam Ahad itu mencetuskan panik dalam kalangan penghuni setelah mereka menyedari kebakaran itu berlaku di Residensi Adelia 1, bangunan blok D.

Seorang penghuni berkata dia terpaksa bergegas menyelamatkan ibu bapanya yang kurang sihat selepas menyedari kebakaran berlaku di blok sama.

"Bodoh betul pemilik unit tu simpan mercun. Terbakar blok D, Adelia 1. Aku kelam kabut selamatkan nyawa mak ayah aku. Mak ayah aku dah la sakit. Syukur tak jadi apa-apa," kongsinya di Threads.

Dalam beberapa video dikongsikan di media sosial, kelihatan percikan api daripada mercun bersama kepulan asap keluar dari unit berkenaan.

Selain itu, ada penghuni memaklumkan mereka terjaga daripada tidur selepas terdengar jeritan sebelum melihat asap dan api dari balkoni kediaman tersebut.

"Punyalah terkejut. Pukul 10.20 saya sudah tidur tapi dengar jeritan. Ingatkan orang bergaduh. Saya keluar balkoni tengok rumah unit bawah terbakar.

"Menggelupur kejut anak turun bawah walaupun kebakaran dekat tingkat lapan. Kami dekat tingkat 23 tapi keselamatan diutamakan.

"Lagi tak sangka rupanya rumah tu ada menyimpan bunga api dan mercun. Nampak rumah 'total lost'," jelasnya menceritakan kejadian.

Dalam perkongsian itu, dia turut menyatakan anak-anaknya mengalami trauma melihat kejadian itu dari bawah bangunan.

Letupan mercun menyebabkan 80 peratus unit tersebut mengalami kebakaran.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.42 malam.

Menurutnya, seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bangi dan Semenyih terlibat dalam operasi memadam kebakaran.

"Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis apartmen berkeluasan 60 x 20 kaki persegi.

"Kebakaran berlaku di tingkat lapan yang terbakar 80 peratus di bahagian bilik yang mengandungi bahan letupan (mercun) dan tidak melibatkan mangsa.

"Api berjaya dikawal pada pukul 11.19 malam dan kerja pemadaman dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mukhlis berkata, pemeriksaan mendapati bahan letupan iaitu mercun berada di keseluruhan kawasan rumah.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kebakaran tidak merebak ke unit lain, namun kediaman tersebut mengalami kerosakan teruk.

Artikel Lain