suria

Awie dipuji sentiasa profesional, Erra Fazira disangka ‘flop’ tapi berjaya pukau penonton di Sembilu The Reunion

Persembahan Awie (kiri) dan Erra mendapat perhatian ramai.

PERSEMBAHAN penyanyi Datuk Awie dan Erra Fazira pada Konsert Sembilu The Reunion yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Selangor pada malam Sabtu menerima pujian daripada penonton.

Pelawak Azrul Zaidi berkongsi pengalamannya pernah bekerjasama dengan Awie, sekali gus memuji profesionalisme penyanyi rock tersebut yang sentiasa memberikan komitmen penuh ketika membuat persembahan.

Kata Azrul, keikhlasan dan keberanian Awie untuk menyanyi secara langsung walaupun dalam keadaan kurang sihat disifatkan sebagai bukti kecintaan terhadap seni dan peminat.

Kemampuan vokal Awie tidak pernah dipertikai.

"Bercakap fasal konsert tiga legenda malam tadi (Sabtu), aku ada pengalaman dengan Awie sebab dia akan menyanyi all out bila buat persembahan. 

"Ada satu acara makan malam yang aku uruskan, artis undangan Awie. Masa itu suara dia (Awie) rabak teruk sebab tak sihat. 

"Aku dah cuak macam mana nak buat ni. Aku cakap dekat dia abang 'miming' sajalah atau nyanyi 'on top' tapi dia tolak. Dia cakap tak mengapa biar nyanyi live saja. Malam tu satu ballroom menyanyi dengannya," katanya. 

ARTIKEL BERKAITAN: Ziana Zain gagal kawal emosi di Konsert Sembilu The Reunion... “Saya kalah juga”

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau kejar semua, nanti nampak tamak” – Awie belum sedia kembali berlakon

Azrul berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads miliknya pada Ahad. 

Dalam pada itu, Erra Fazira turut mencuri perhatian apabila persembahan dan vokalnya berjaya mengejutkan ramai penonton.

Seorang pengguna Threads mengakui tidak menyangka Erra mampu menyampaikan lagu-lagu dengan baik dalam konsert berskala besar.

"Saya ingatkan Erra akan 'flop' untuk beberapa buah lagu kerana tidak pernah nampak dia membuat persembahan banyak lagu dalam konsert mega macam ini. 

"Tetapi tidak ya, dia tingkatkan cara nyanyian dan cuba berusaha sebaris dengan Ziana dan Awie. 

Netizen memuji persembahan Erra pada malam konsert.

"Ruginya tak dapat pergi semalam (Sabtu), tengok video semua best. Sembilu 2.0 please," tulisnya.

Selain Awie dan Erra, Konsert Sembilu The Reunion turut diserikan dengan persembahan mantap daripada penyanyi Ziana Zain.

Ketiga-tiga penyanyi legenda tersebut berjaya menghiburkan seramai 10,000 penonton dalam konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain