suria

Ziana Zain gagal kawal emosi di Konsert Sembilu The Reunion... “Saya kalah juga”

Ziana gagal menahan emosi di Konsert Sembilu The Reunion.

KONSERT Sembilu The Reunion yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada malam Sabtu mencatatkan detik penuh emosi apabila penyanyi Ziana Zain gagal menahan sebak selepas menyampaikan lagu Setiaku Di Sini.

Ziana atau Siti Roziana Zain, 58, dilihat mengalirkan air mata di hadapan lebih 10,000 penonton yang hadir apabila emosi yang dipendam sekian lama akhirnya tewas di pentas.

Kata Ziana, dia mengakui dirinya sedang melalui fasa sukar dalam kehidupan selepas kehilangan kedua-dua ibu bapanya dalam tempoh singkat.

Kehebatan vokal Ziana memukau penonton.

"Sukar untuk berada di situasi saya sekarang ini. Saya sudah tiada kedua ibu bapa. 

"Saya kena harung dalam masa empat bulan. Kena menyanyi di Konsert 4 dan konsert reunion Sembilu. 

"Ya Allah saya menahan sangat sebenarnya. Saya ingatkan boleh tetapi kalah juga. Allahuakbar," katanya. 

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Hilang ibu, ayah dalam tempoh empat bulan, Ziana Zain tiada tempat bersandar… “Nak minta maaf dengan siapa raya nanti?”

ARTIKEL BERKAITAN: Abby Abadi nak sangat jadi ‘Erra Fazira’, sanggup tonton filem Sembilu enam kali

Konsert yang bermula tepat jam 8.45 malam itu dibuka dengan sebuah lakonan semula filem Sembilu, menampilkan anak-anak kepada tiga figura utama konsert berkenaan, Datuk Awie, Erra Fazira dan Ziana.

Ahmad Merrah (anak Awie), Siti Nur Kaseh (anak Ziana) dan Engku Aleesya (anak Erra Fazira) tampil melakonkan babak ikonik berbasikal mengimbau nostalgia filem yang pernah mencetuskan fenomena suatu ketika dahulu.

Persembahan mantap Erra (kiri), Awie dan Ziana (kanan) menerusi lagu Halaman Asmara.

Menghangatkan pentas, konsert dimulakan dengan paduan tiga suara Awie, Ziana dan Erra menerusi lagu Rock N Roll Ronda-Ronda, Sangkar Cinta dan Jendela Hati yang mencetuskan sorakan gemuruh penonton.

Suasana bertambah meriah apabila Awie secara bersahaja mengimbau kisah percintaannya bersama watak Wati yang dilakonkan Erra Fazira yang akhirnya menjadi realiti di luar set penggambaran.

“Tak sangka lakonan Wati (Erra) dan Awie jadi betul (bercinta) pula di luar set penggambaran.

Babak filem Sembilu dilakonkan semula oleh anak Ziana (kiri), Erra dan Awie. 

"Minta maaf ya Mr E (suami Erra). Kita kawan kan. Saya baru mengenali Mr E, orangnya sangat baik dan lembut.

"Saya doakan jodoh mereka berpanjangan. Saya tiga kali kahwin, Erra pun sama. Jadi kami sama adil, saksama dan sama rata,” ujarnya. 

Konsert yang berlangsung selama hampir tiga jam itu mempersembahkan sebanyak 25 buah lagu, antaranya Ratuku, Di Ambang Wati, Hanya Di Mata, Pasrah, Anggapanmu dan Madah Berhelah, sekali gus menjadikan malam tersebut sarat dengan elemen nostalgia, emosi dan kenangan buat peminat setia Sembilu

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain