suria

Ibu Puteri Balqis ditipu artis veteran, ahli politik janji bantu rawat mata anak dengan syarat pelik... Enggan cerita peristiwa ‘menyakitkan’ dalam bilik

Ibu Puteri Balqis dedah ditipu artis veteran kononnya mahu pulihkan penglihatan anak.

IBU kepada pelakon Puteri Balqis, Norashikin Mohd Aziz mendedahkan pengalaman hitam yang terpaksa dilalui ketika anaknya berdepan masalah penglihatan sehingga berada dalam keadaan sangat terdesak.

Menurut Norashikin atau Shikin, pada ketika itu dia berada dalam tekanan emosi sebagai seorang ibu yang hanya memikirkan satu perkara iaitu menyelamatkan anaknya, sebelum didatangi seorang artis veteran yang menawarkan bantuan melalui seorang ahli politik.

Lebih meyakinkan, kata Shikin, bantuan tersebut dikatakan ikhlas dan tidak memerlukan sebarang publisiti atau liputan media, sekali gus membuatkan dia tidak mengesyaki sebarang perkara buruk.

Norashikin dedah ditipu artis veteran dan ahli politik.

“Ketika Aqish (panggilan Puteri Balqis) sakit dan keadaan kami sangat terdesak, berita tentang situasinya tersebar. Ada seorang artis veteran datang berjumpa saya dan memaklumkan seorang ahli politik sanggup membantu membawa Aqish berjumpa doktor pakar.

“Dia beritahu bantuan itu tak perlukan kamera atau perhatian. Saya pula benar-benar terdesak, jadi saya setuju,” katanya.

Norashikin berkongsi pendedahan itu menerusi satu temu bual podcast SembangOhhYeahh di YouTube pada malam Sabtu.

Berkongsi lanjut, Norashikin memberitahu dia kemudian membawa Aqish ke Brickfields sebelum mereka singgah di sebuah restoran mamak.

ARTIKEL BERKAITAN: Puteri Balqis bakal berdepan saman, terima mesej daripada WhatsApp… “Kami tidak akan berganjak, sedia dipenjara atau apa sahaja” 

ARTIKEL BERKAITAN: Puteri Balqis pertahan bapa tiri, tuntut bukti dakwaan ambil dadah

Namun, atas permintaan artis veteran berkenaan, Shikin diminta meninggalkan anaknya buat sementara waktu sebelum dia dibawa menaiki kereta bersama artis veteran dan ahli politik terbabit menuju ke sebuah rumah dua tingkat di kawasan yang asing baginya.

Setibanya di rumah berkenaan, Norashikin mula berasa tidak sedap hati apabila menyedari hanya terdapat dirinya dan artis veteran itu sahaja sebagai wanita, manakala kira-kira enam lelaki lain berada di dalam rumah tersebut.

Katanya lagi, keadaan menjadi semakin meresahkan apabila dia dimaklumkan Aqish akan dibawa berjumpa pakar, namun doktor yang dijanjikan langsung tidak kelihatan.

Ketika itu, Norashikin mula menyedari sesuatu yang tidak kena apabila beberapa syarat pelik dikemukakan kononnya sebagai jalan untuk ‘merawat’ Aqish.

Saya pula benar-benar terdesak, jadi saya setuju.

NORASHIKIN MOHD AZIZ

IBU PUTERI BALQIS

“Antaranya saya perlu berkahwin dengannya, Aqish akan dihantar ke luar negara sehingga usia 21 tahun dan saya langsung tak dibenarkan berhubung dengan anak saya.

"Saya diwajibkan bertudung apabila keluar rumah, namun tidak dibenarkan bertudung apabila rakan-rakannya berada di dalam rumah. Saya juga tidak dibenarkan berjumpa sesiapa dan hanya perlu tinggal di rumah," dedahnya.

Situasi menjadi semakin sukar apabila seorang lagi individu masuk ke dalam bilik tersebut sebelum berlaku perkara tidak diingini, sekali gus membuatkan Norashikin memilih untuk tidak berkongsi peristiwa itu secara terperinci.

Selepas kejadian berkenaan, Norashikin dihantar semula ke Brickfields untuk mengambil Aqish yang setia menunggu kepulangannya.

Aqish dan Norashikin ketika berkongsi cerita mereka di podcast SembangOhhYeahh.

Menurut Norashikin, setibanya di rumah dia membuang semua pakaian yang dipakai ketika kejadian itu kerana tidak sanggup mengingati peristiwa berkenaan.

“Banyak perkara berlaku yang tidak 100 peratus mengikut kehendak saya. Saya tak mampu ceritakan kerana terlalu menyakitkan untuk dikenang.

“Aqish tanya sama ada kami jumpa doktor. Saya beritahu doktor sibuk dan saya akan cari doktor lain.

Aqish mempunyai masalah penglihatan ketika kecil.

“Saya campak dan buang semua baju yang saya pakai waktu jumpa mereka sebab saya memang tak sanggup tengok baju itu lagi,” katanya.

Jelas Norashikin, kisah tersebut hanya diketahui suaminya kini, Faris yang menyimpan rahsia berkenaan selama bertahun-tahun.

Norashikin turut merakamkan penghargaan kepada Faris yang setia berada di sisi serta menerima baik buruk dirinya ketika mereka melalui fasa kehidupan yang sukar.

Norashikin sanggup buat apa sahaja demi anaknya.

Menurutnya, Faris bukan sahaja hadir sebagai teman, malah menjadi penyokong terkuat buat dirinya dan Aqish ketika berdepan pelbagai ujian hidup.

“Saya hanya cerita perkara ini kepada Faris. Dia simpan rahsia itu bertahun-tahun dan hari ini baru saya berani bersuara.

“Faris ialah seorang sahabat yang sangat baik pada waktu itu. Dia tidak pernah menolak untuk membantu kami, sehinggalah kami bernikah. Terima kasih kerana menjadi suami yang sangat baik, walaupun usianya jauh lebih muda,” ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain