suria

Tiada istilah berhenti, Kismah Johar terus aktif berlakon... Tak mahu rasa terkilan selepas 10 tahun rehat

Kismah masih banyak menerima tawaran berlakon.

KETIKA usia sudah menginjak 74 tahun, pelakon Kismah Johar masih belum terfikir untuk berehat dan meletakkan titik nokhtah pada kerjaya seni. 

Masih aktif menerima tawaran, Kismah memberitahu minat yang mendalam terhadap dunia lakonan membuatkan dirinya nekad untuk terus menyumbang bakat kepada industri seni. 

Apatah lagi sebelum ini dia pernah memperlahankan kerjaya selama hampir 10 tahun ketika memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Artis Veteran Malaysia. 

Kismah mahu terus aktif berlakon. 

"Selama 10 tahun memegang jawatan sebagai presiden, saya korbankan kerjaya seni dan tolak banyak tawaran besar. Saya lakukan itu demi persatuan. 

"Rasanya tempoh 10 tahun itu sudah cukup. Disebabkan minat dalam bidang lakonan saya buat comeback. Saya takut rasa terkilan kalau tidak kembali aktif berlakon," katanya kepada mStar. 

Berkongsi lanjut, Kismah juga memberitahu anak-anak memberi sokongan penuh kerana faham minat dan tanggungjawab terhadap lakonan. 

ARTIKEL BERKAITAN: Diskriminasi bayaran artis veteran belum berubah, Anne Abdullah minta produksi jangan berat sebelah 

ARTIKEL BERKAITAN: Dituduh tiada empati, Rosyam Nor terima baik teguran… Naikkan algoritma podcast

Malah dia juga amat bersyukur kerana masih diberi kekuatan untuk menjalani penggambaran. 

"Ada seorang anak suruh rehat, ada seorang lagi beri sokongan. Mereka faham minat saya. 

"Syukur setakat ini saya tidak pernah rasa penat atau tumbang di lokasi penggambaran. Saya menjaga pemakanan selain mengambil makanan tambahan untuk beri tenaga," ceritanya. 

Kismah tiada masalah menjalani penggambaran. 

Sebagai orang yang berpengalaman, Kismah juga memberi komitmen penuh setiap kali menerima tawaran berlakon. 

Terbaharu Kismah kembali dalam drama Keluarga Iskandar 3 untuk tayangan di saluran Astro bermula 6 Februari ini. 

"Tak pernah rasa susah bekerja. Kalau skrip panjang saya akan buat persiapan dua atau tiga hari sebelum ke lokasi. Jika pendek boleh sahaja baca ketika waktu penggambaran," ceritanya. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain