suria

“Kalau kejar semua, nanti nampak tamak” – Awie belum sedia kembali berlakon

Awie belum sedia kembali berlakon buat masa sekarang.

PENYANYI Datuk Awie mengakui belum mempunyai perancangan untuk kembali aktif dalam dunia lakonan meskipun masih menyimpan rasa rindu untuk berada di set penggambaran.

Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 58, perasaan itu lebih kuat apabila mengimbau kenangan bekerja di bawah arahan pengarah Allahyarham Mamat Khalid yang disifatkan sebagai insan penting dalam perjalanan karier lakonannya.

“Untuk berlakon lagi itu biarlah diberikan kepada mereka yang lebih sesuai. Bukan tidak mahu, saya masih nak dan rindu dengan dunia lakonan.

Awie rindu kenangan berlakon di bawah arahan arwah Mamat.

“Saya rindu dengan arwah Mamat Khalid. Tetapi bila dia sudah tiada, saya rasa seperti hilang arah dan hilang semangat,” katanya kepada mStar.

Vokalis kumpulan Wings itu memberitahu, dia menerima beberapa tawaran berlakon dalam filem, namun terpaksa menolaknya kerana komitmen sedia ada terhadap kerjaya nyanyian dan jadual konsert yang padat.

Jelas Awie, keputusan itu dibuat bukan kerana memilih tawaran, sebaliknya demi menjaga momentum kerja yang sedang dibina bersama kumpulannya itu. 

“Memang ada tawaran untuk berlakon dalam filem yang bagus, tetapi saya tidak mampu menerimanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mahu jenama Wings rapuh, Awie perkenal dua anggota baharu… “Rugi kalau dibiarkan sayap itu patah”

ARTIKEL BERKAITAN: Berat pernah hampir cecah 100 kg, Awie ‘hentak’ siang malam di gim... “Kalau tak dijaga, kulit boleh berkedut”

“Dengan keadaan konsert yang sedang berjalan, kalau saya tinggalkan studio dan pergi ke set penggambaran, momentum yang saya bina akan terhenti.

“Untuk bina semula semuanya bukan mudah. Kena mula daripada awal dan kerja keras semula. Memang susah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Awie berkata dia tidak mahu menjadi seorang yang terlalu mengejar pelbagai perkara dalam satu masa sehingga dilihat tamak. 

Namun begitu, jelas Awie, pintu lakonan tidak ditutup sepenuhnya sekiranya projek tersebut dihasilkan oleh syarikatnya sendiri, Rumah Produksi Merah.

Awie fokus menyanyi bersama kumpulannya, Wings.

“Buat masa sekarang, tahun 2026 ini, saya memang belum terfikir untuk berlakon dalam filem lagi, kecuali jika syarikat kami sendiri yang menghasilkan projek tersebut.

“Bagi saya, kalau saya kejar terlalu banyak perkara, nanti nampak seperti tamak. Jadi tak apa, saya sanggup berkorban sekejap,” katanya.

Tambah Awie, fokus utamanya ketika ini adalah terhadap nyanyian dan persembahan pentas kerana faktor kesihatan dan disiplin diri perlu dijaga dengan rapi.

“Saya mahu fokus pada nyanyian dan persembahan. Saya takut kalau masuk set penggambaran nanti, pemakanan tidak terjaga, tidur tak betul dan minum pun tak teratur. Semua itu akan menjejaskan keadaan saya,” ujarnya

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain