SEORANG warga emas dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun dan enam bulan, selepas bertindak menolak isterinya dari tingkap rumah mereka yang terletak di tingkat 14.Lelaki berusia 75 tahun yang dikenali sebagai Lin, dari New Taipei, Taiwan, didapati bersalah menolak isterinya, Qiu, 68, selepas membawa wanita berkenaan ke tepi tingkap sebelum membantu mangsa berdiri dan kemudian menolaknya ke bawah, dalam kejadian pada 9 Disember 2024. Qiu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.Selepas kejadian itu, Lin bertindak menyerah diri di balai polis berhampiran.Menurut laporan media tempatan, Lin telah menjaga isterinya selama beberapa tahun seorang diri selepas wanita itu menghidap hydrocephalus, iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan kemerosotan teruk dari segi fizikal dan mental. Pasangan tersebut telah mendirikan rumah tangga selama lebih 30 tahun dan mempunyai beberapa orang anak, namun kesemua anak mereka telah berpindah serta mempunyai keluarga sendiri.Keadaan Qiu dilaporkan semakin merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehingga menyebabkan dia terlantar di katil dan memerlukan penjagaan sepenuh masa.Lin dipercayai berasa tertekan dan keletihan apabila keadaan isterinya semakin memburuk. Dia pernah bercadang untuk mendapatkan penjaga berbayar bagi membantunya, namun Qiu menolak dan hanya mahu dijaga oleh suaminya sendiri.Panel hakim menyatakan bahawa perbuatan tertuduh berbeza daripada kes pembunuhan lain dan menyifatkan insiden itu sebagai satu tragedi yang berpunca daripada tekanan penjagaan jangka panjang. -Agensi