suria

Gian cium kucing? Kajian mendapati si bulus ada 'kuasa' kawal otak manusia melalui jangkitan parasit

Parasit tersebut dikatakan mampu mempengaruhi naluri manusia terhadap kucing. -Gambar hiasan AI

KUCING sememangnya dilihat haiwan yang comel dan manja apatah lagi dari pandangan pencinta si bulus.

Tetapi di sebalik kecomelan dan kemanjaan itu, jangan terkejut jika dikatakan haiwan ini mungkin sedang ‘mengawal’ otak anda.

Seorang pencipta kandungan yang sering berkongsi fakta unik, Lexi Natoli, membuat pendedahan menarik mengenai sejenis parasit yang dibawa oleh kucing, dikenali sebagai Toksoplasmosis.

Parasit Toxoplasma gondii (T. gondii) ini biasanya berada dalam najis kucing dan boleh menjangkiti manusia, terutamanya ketika membersihkan kotak najis (litter box) si bulus. 

Apa yang mengejutkan, parasit ini bukan sekadar berbahaya kepada kesihatan fizikal tetapi juga dikatakan mampu mempengaruhi cara kita berfikir dan bertindak.

Menurut beberapa kajian, toxoplasmosis mampu mempengaruhi tingkah laku manusia yang dijangkiti parasit ini. 

Satu daripada tiga pemilik kucing cenderung membawa parasit tersebut. -Gambar hiasan AI

Antaranya, mereka cenderung menjadi lebih impulsif, kurang takut untuk mengambil risiko dan lebih berani mencuba perkara baharu.

Kajian menunjukkan mereka yang dijangkiti parasit ini 1.4 kali lebih berkemungkinan cenderung untuk memulakan perniagaan sendiri, berbanding individu yang tidak dijangkiti.

Lexi juga menjelaskan bahawa parasit ini turut dikaitkan dengan beberapa isu kesihatan mental seperti skizofrenia, OCD (obsessive compulsive disorder) dan gangguan antisosial.

Bahkan, kecenderungan untuk terlalu obses dengan kucing yang sering digambarkan melalui stereotaip 'cat lady' juga dikatakan ada kaitan dengan jangkitan ini.

Satu kajian menarik turut dilakukan, di mana individu dijangkiti toxoplasmosis dan tidak dijangkiti diminta berada dalam bilik yang disembur dengan bau air kencing kucing. 

Hasilnya, mereka yang dijangkiti kurang terganggu dengan bau tersebut berbanding mereka yang tidak dijangkiti. 

Ini menguatkan lagi teori bahawa parasit ini secara tidak sedar boleh mempengaruhi reaksi dan naluri manusia terhadap kucing.

Walaupun tidak semua pemilik kucing akan dijangkiti, dianggarkan satu daripada tiga (nisbah) pemilik kucing mungkin membawa parasit ini tanpa sedar. 

Namun, risiko boleh diminimumkan dengan menjaga kebersihan terutamanya ketika mengendalikan najis kucing bagi mengelakkan parasit ini berterusan ‘menumpang’ dalam diri tanpa kita sedari.

Artikel Lain