suria

Tiba masanya periksa keadaan kuali ‘non-stick’ anda… Boleh buang jika ada kesan calar!

Penggunaan kuali calar adalah bahaya untuk kesihatan. -Gambar hiasan AI

RAMAI antara kita mungkin masih menggunakan kuali tidak melekat atau non-stick yang sudah tercalar atau rosak tanpa menyedari risiko tersembunyi terhadap kesihatan.

Satu kajian dari Australia mendedahkan bahawa memasak menggunakan kuali non-stick yang rosak boleh menyebabkan jutaan zarah mikroplastik dan nanoplastik tercemar ke dalam makanan.

Kajian yang dijalankan penyelidik dari Universiti Newcastle dan Universiti Flinders itu menggunakan mikroskop khas bagi mengesan jumlah partikel plastik yang terlepas dari permukaan kuali sudah rosak akibat calar.

Hasil kajian menunjukkan bahawa satu permukaan kuali non-stick yang tercalar mampu melepaskan sekitar 2.3 juta mikroplastik (kurang daripada lima milimeter) dan nanoplastik (kurang daripada satu mikrometer) semasa memasak.

Menurut Dr Cheng Fang dari Universiti Newcastle, calar pada permukaan kuali bukan satu-satunya penyebab masalah ini.

Katanya, penggunaan kuali dalam jangka masa panjang, gaya memasak dan jenis bahan permukaan kuali juga memainkan peranan besar.

Keadaan kuali 'uzur' (kiri) perlu ditukar dengan menggantikan kuali jenis stailess steel (kanan). -Gambar hiasan AI

Kuali non-stick mula diperkenalkan pada tahun 1954 dan sehingga kini masih menjadi pilihan utama kerana permukaannya yang licin dan mudah dicuci.

Hampir separuh peralatan memasak yang dijual di pasaran hari ini adalah jenis non-stick.

Pada 2013, kuali non-stick yang menggunakan bahan kimia bernama PFOA dalam pembuatannya dihapuskan kerana dikaitkan dengan risiko kanser dan kecacatan kelahiran.

Antara perkara boleh dilakukan untuk mengelakkan daripada perkara ini terus berlaku adalah seperti berikut:

1. Elak guna kuali non-stick yang sudah tercalar, terkopek atau kelihatan lusuh.

2. Guna senduk jenis kayu atau silikon yang tidak merosakkan permukaan non-stick.

3. Tukar peralatan memasak secara berkala terutama jika digunakan secara kerap.

4. Pertimbangkan penggunaan kuali alternatif seperti stainless steel (keluli tahan karat) atau besi tuang (cast iron).

Artikel Lain