suria

Pisau blender 'terbang' ke muka, kuku hancur ketika cuba tepis... Wanita minta kaum ibu hati-hati guna 'chopper'

Aisyah menceritakan insiden ngeri ketika menggunakan pengisar ketika memasak.

SEORANG pempengaruh berkongsi pengalaman ngeri yang hampir meragut nyawanya, dalam satu insiden ketika menggunakan pengisar mudah alih (portable blender) di rumahnya di Kota Bharu, Kelantan.

Menurut Wan Nur Aisyah Wan Aziz atau lebih dikenali sebagai Aisyah, insiden berlaku ketika dia sedang menyediakan bahan masakan untuk memasak daging goreng buat keluarga pada Sabtu lalu. 

Tanpa disangka, mesin pengisar kecil yang digunakan untuk memudahkan urusan memasak itu bertukar menjadi alat yang mencederakan wajah dan tangannya.

"Saya nak kisar bawang putih untuk memasak. Masa tu saya nak betulkan mata pisau blender dulu sebab nampak kedudukannya tak betul. 

"Tapi saya tak perasan suis pada plug di dinding tu dah terpasang," katanya kepada mStar.

Aisyah menjelaskan bahawa pengisar jenis cincang (chopper) yang digunakan itu berfungsi hanya dengan menekan butang kuasa utama seperti mana pengisar biasa.

 Aisyah mendapatkan rawatan di HUSM akibat kecederaan dialami.

Ketika dia sedang menyelaraskan kedudukan pisau, jarinya tanpa sengaja menekan bahagian atas chopper itu menyebabkan bilah pisau tajam tersebut berpusing dan terpelanting keluar.

"Masa tu mata pisau blender tengah menghadap ke muka. Bila ia terpelanting, saya sempat tepis dengan tangan sebab tu kuku saya separuh hancur," jelasnya.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu kemudian segera mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di Kelantan selepas mengalami pendarahan teruk.

Akibat insiden tragis itu, bahagian dahi Aisyah terbelah dan menerima enam jahitan manakala hidung pula lima jahitan. 

Lebih menyedihkan, jari hantunya turut cedera parah hingga menyebabkan kuku terputus separuh.

Aisyah mengakui trauma dan perkongsian pengalaman ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai khususnya para ibu yang menggunakan pengisar jenis sama di rumah.

Justeru, setiap individu khususnya kaum wanita perlulah sentiasa berhati-hati dan mementingkan aspek keselamatan setiap kali berada di dapur.

Artikel Lain