suria

Bakal mulakan latihan industri? Ini senarai semak untuk anda sebelum lapor diri di tempat kerja

Pelajar tidak sepatutnya tiba lewat pada hari pertama latihan industri. -Gambar hiasan AI

LATIHAN industri atau intership adalah peluang terbaik untuk pelajar merasai dunia pekerjaan sebenar sebelum menamatkan pengajian.

Ia bukan sahaja tentang mengisi resume, tetapi juga ruang untuk belajar, membina jaringan profesional, dan mengasah kemahiran komunikasi serta kerja berpasukan.

Namun, untuk memastikan tempoh internship anda berjalan lancar, ada beberapa persediaan penting yang perlu dilakukan sebelum hari pertama melangkah ke pejabat.

1. Ketahui maklumat asas syarikat

Sebelum melapor diri, buat sedikit kajian tentang syarikat tempat anda akan melakukan latihan industri. 

Ketahui jenis perniagaan mereka, nilai organisasi, serta projek atau klien utama. 

Ini bukan sahaja membantu anda faham persekitaran kerja, malah menunjukkan anda berminat dan serius untuk belajar.

Latihan industri merupakan peluang terbaik untuk pelajar menimba ilmu daripada senior-senior di tempat kerja -Gambar hiasan AI

2. Semak semula emel dan dokumen penting

Pastikan anda menyimpan semua emel penting seperti surat tawaran, maklumat melapor diri, lokasi pejabat, serta nama dan nombor pegawai penyelia. 

Sediakan juga dokumen seperti surat pengesahan universiti, salinan kad pengenalan, resume dan apa-apa borang yang diminta oleh syarikat.

3. Pilih pakaian yang sesuai

Gaya pemakaian mencerminkan sikap anda. 

Dapatkan maklumat tentang etika berpakaian di tempat tersebut, sama ada formal, semi-formal atau bebas menggayakan apa sahaja fesyen. 

Elakkan pakaian terlalu santai seperti selipar, jeans koyak atau baju terlalu ketat.

Masalah disiplin boleh menjejaskan markah latihan industri. -Gambar hiasan AI

4. Rancang perjalanan

Sebagai pelajar latihan industri, elakkan kejadian lambat pada hari pertama. 

Kejadian lambat ini kerap berlaku memandangkan pelajar tidak biasa dengan laluan dan perjalanan ke tempat kerja.

Jika berkelapangan, anda boleh melakukan 'simulasi perjalanan' dari rumah ke pejabat sebelum bermulanya latihan industri.

Dengan cara ini, anda boleh mengenal pasti laluan terbaik serta masa yang diperlukan untuk sampai ke tempat kerja.

Antara lain, gunakan aplikasi navigasi untuk rancang laluan dan masa perjalanan, terutama jika anda belum biasa dengan lokasi tersebut. 

Jika naik pengangkutan awam, kenal pasti stesen dan waktu perjalanan paling sesuai.

5. Sediakan mental dan emosi

Internship bukan sekadar tugasan kerja. 

Anda mungkin akan berdepan cabaran, tekanan, atau perbezaan budaya kerja. 

Latih diri untuk bersikap terbuka, rajin bertanya, dan jangan takut untuk menerima teguran. 

Setiap pengalaman, baik atau buruk adalah peluang untuk belajar.

 

Artikel Lain