KEMATIAN mengejut bintang terkenal India, Shefali Jariwala yang popular dengan lagu Kaanta Laga pada Jumaat lalu membuatkan ramai peminat dan rakan artis berduka.
Di sebalik pemergian selebriti berusia 42 tahun itu, timbul juga kebimbangan apabila kematiannya dikaitkan dengan amalan kesihatan yang kini menjadi 'trend' termasuk pengambilan vitamin melalui titisan intravena (IV drip).
Menurut laporan media tempatan, Shefali dikatakan menerima rawatan Vitamin C IV drip pada hari kematiannya.
Meskipun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian, pendedahan ini mencetuskan perbincangan dalam kalangan pakar kesihatan tentang risiko rawatan kesihatan alternatif tanpa pemantauan profesional.
Beberapa pakar perubatan memberi amaran tentang pengambilan ubat atau suplemen ketika perut kosong, khususnya apabila melibatkan kaedah suntikan atau IV drip.
Tindakan ini boleh menyebabkan bahan aktif diserap terlalu cepat ke dalam aliran darah, sekali gus meningkatkan risiko tindak balas negatif seperti pening, mual atau dalam kes yang jarang berlaku, serangan jantung.
Shefali meninggal dunia pada usia 42 tahun. -Foto X
Sahabat baik Shefali yang juga seorang pelakon, Pooja Ghai dalam satu wawancara menyatakan bahawa rawatan IV seperti Vitamin C drip menjadi semakin popular selepas pandemik, terutamanya dalam kalangan selebriti yang mementingkan penjagaan kesihatan dan kecantikan.
Namun Pooja turut memaklumkan bahawa pihak berkuasa telah memanggil individu yang memberikan rawatan tersebut untuk siasatan lanjut.
Meskipun sesetengah ubat sememangnya dirumus untuk diambil ketika perut kosong seperti ubat tiroid atau antibiotik tertentu, tetapi majoriti suplemen atau infusi memerlukan pemantauan rapi, terutama apabila diambil serentak dengan ubat lain.
Amalan ini dikenali sebagai polypharmacy, yang boleh meningkatkan risiko pengambilan ubat ubatan dan kesan sampingan.
Tambahan pula, pengambilan ubat sewaktu berpuasa atau dalam keadaan lemah fizikal juga boleh menyebabkan komplikasi serius.
Pemergian Shefali Jariwala menjadi satu peringatan buat semua bahawa tidak semua rawatan kesihatan atlernatif adalah selamat tanpa nasihat atau pengawasan betul.
Walaupun kita hidup dalam zaman di mana rawatan estetik dan suplemen menjadi gaya hidup namun masyarakat perlu lebih berhati-hati agar tidak terjebak dengan amalan berisiko demi kecantikan mahupun kesihatan. -Indulge Express