Terbantut shopping raya! Ibu kecewa staf gedung popular suruh campak keluar anak OKU, “Saya harus pertahan hak anak saya” - Famili | mStar

Terbantut shopping raya! Ibu kecewa staf gedung popular suruh campak keluar anak OKU, “Saya harus pertahan hak anak saya”

Norazleena (kanan) meluahkan kekecewaan tentang layanan terhadap anaknya ketika membeli persiapan lebaran di sebuah gedung fabrik popular. - Facebook

SETIAP ibu bapa pasti teruja untuk melakukan persediaan menyambut lebaran yang bakal tiba tidak lama lagi.

Seperti ibu bapa lain, Norazleena Yaha, 38, juga tidak ingin melepaskan peluang untuk menggembirakan anak-anaknya.

Namun, keterujaan mereka sekeluarga untuk membeli baju raya di sebuah gedung fabrik popular berakhir dengan insiden memalukan apabila wanita itu mendakwa anaknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) tidak dibenarkan masuk oleh staf gedung tersebut yang terletak di Shah Alam, Selangor.

Perkongsian yang dimuat naik oleh Norazleena melalui Facebook pada Ahad itu tular dan mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial.

"Kalau iya pun bayi lima bulan dalam 'stroller' dan anak OKU cerebral palsy duduk kerusi roda tidak boleh dibawa masuk, kau cakap baik-baik.

"Jangan sekali-kali guna ayat campak dia dekat luar!!! Tunggu dekat sana. Itu biadab namanya!!! Kau fikir aku bawa anak biawak kah?" tulisnya dalam posting tular itu.

Adreena Sha (gambar kiri) perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak dan gambar kanan, posting yang dimuat naik oleh ibunya.

Ketika dihubungi, ibu kepada lima anak itu memberitahu mStar bahawa dia amat terkilan dengan layanan yang diberikan dan terpaksa memuat naik mengenai insiden berkenaan di media sosial supaya pihak atasan syarikat tersebut maklum dan mengambil perhatian berhubung isu ini.

Presiden Pertubuhan Ibu Bapa dan Bayi Pramatang itu mendakwa kakitangan yang mengeluarkan kata-kata kasar tersebut bukan seorang warganegara Malaysia dan menggunakan pemilihan kata yang salah terhadap anak-anaknya.

Dalam kejadian pukul 1 tengah hari Sabtu lalu, Norazleena berkata berlaku sedikit pertelingkahan antara dirinya dan pekerja gedung berkenaan sejurus dia mengeluarkan ayat yang mengguriskan hati mereka sekeluarga.

"Saya sedih diperlakukan begitu di depan orang ramai, malu jugalah sedangkan saya sudah berbelanja di gedung belakang.

"Tiba-tiba saya tidak dibenarkan masuk apabila kami menuju ke pintu depan. Kenapa kakitangan gedung itu bersikap begitu terhadap pelanggan?" soalnya yang menetap di Puncak Alam, Selangor.

Sebagai pekerja, mereka perlu ada 'give and take' dan berikan sokongan kepada pelanggan. Kami sebagai ibu bapa OKU ni pun memahami dan akan cepat-cepat beli barang, kemudian keluar.

NORAZLEENA

Ibu anak OKU

Menurut Norazleena, anak-anak OKU tidak seharusnya dilayan seperti itu kerana jika masyarakat sendiri yang menyisihkan mereka, bagaimana anak-anak istimewa seperti anaknya, Adreena Sha Azrul Shah dapat berdikari pada masa akan datang.

Malah dia juga mempertikaikan program-program amal yang sering dianjurkan oleh syarikat tersebut termasuklah meraikan anak yatim dan OKU, tetapi stafnya sendiri tidak mesra OKU.

Norazleena menegaskan bahawa dia bukanlah jenis ibu yang 'menyimpan' anak istimewa di rumah kerana perbuatan itu tidak adil bagi anaknya yang tidak minta dilahirkan begitu.

Adreena Sha yang berusia lima tahun merupakan anak ketiga daripada lima beradik dan mengalami pelbagai komplikasi ketika dilahirkan.

Menurut peniaga atas talian tersebut, ketika dilahirkan berat anaknya hanyalah 800 gram dan merupakan seorang bayi pramatang yang dilahirkan pada usia kandungan mencecah 31 minggu.

Adreena Sha merupakan seorang penghidap cerebral palsy. - foto Facebook

Selepas insiden tersebut, Norazleena mendakwa pihak pengurusan gedung fabrik itu membuat permohonan maaf secara peribadi kepadanya dan dia juga telah memadam posting asal yang dimuat naik di akaun Facebooknya.

"Sebagai pekerja, mereka perlu ada 'give and take' dan berikan sokongan kepada pelanggan. Kami sebagai ibu bapa OKU ni pun memahami dan akan cepat-cepat beli barang, kemudian keluar.

"Pelanggan lain juga perlu memberikan sokongan kepada golongan OKU... jika tidak, mereka akan rasa tersisih sampai bila-bila.

"Dan saya pula sebagai ibu harus mempertahankan hak anak saya untuk menjalani kehidupan sama seperti orang normal yang lain," ujarnya.

Artikel Lain