suria

[V] Lelaki pakai bedak, pelembap bibir boleh jatuh haram dan harus hukumnya... Ini penjelasan UAI

Lelaki memakai bedak boleh menjadi harus atau haram hukumnya bergantung pada keadaan. -Gambar hiasan AI

LELAKI memakai produk penjagaan diri bukan lagi sesuatu yang asing, namun sejauh mana ia dibenarkan dalam Islam sering menimbulkan persoalan.

Menjawab persoalan tersebut, pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus (UAI) menjelaskan bahawa hukum lelaki memakai bedak boleh menjadi harus atau haram, bergantung kepada tujuan dan cara pemakaiannya.

Menurutnya, lelaki dibenarkan memakai bedak sekadar untuk tujuan kebersihan dan penjagaan diri, seperti selepas mandi sebelum tidur bagi mengeringkan wajah atau mengurangkan minyak berlebihan.

“Lepas mandi, nak tidur malam, letak bedak sikit supaya muka kering, hukumnya harus,” jelasnya dalam satu ceramah [Tonton Video].

Memakai gincu haram bagi lelaki. -Gambar hiasan AIMemakai gincu haram bagi lelaki. -Gambar hiasan AI

Namun, hukum itu berubah menjadi haram sekiranya bedak dipakai sehingga menampakkan wajah seperti wanita, lebih-lebih lagi dengan niat untuk mencantikkan diri atau memutihkan muka.

"Tapi kalau dia pakai bedak tu jadi macam perempuan, haram. Faham? Nak keluar ke kedai, nak ke bandar pakai bedak sampai putih muka haram.

"Ini kerana memutihkan muka dengan bedak di khalayak adalah perhiasan yang biasa bagi wanita,” tegasnya.

Dalam masa sama, dia menjelaskan penggunaan produk penjagaan seperti pelembap bibir tanpa warna, termasuk yang berfungsi melindungi bibir daripada sinaran matahari, adalah dibenarkan kerana tujuannya menjaga kesihatan, bukan berhias.

“Kalau bibir kering, guna pelembap untuk lindungi daripada panas matahari, itu tak mengapa. Jangan pakai yang berwarna macam gincu,” katanya.

Justeru, dia menasihatkan golongan lelaki agar berhati-hati dalam memilih produk penjagaan diri supaya tidak melampaui batas dan menyerupai perhiasan wanita.

Artikel Lain