suria

[V] Kematian rahsia Allah... Benarkah di mana jasad manusia dicipta, di situ jenazah akan dikebumikan? Ustaz beri penjelasan

Dari mana tanah diri kita dijadikan, di situ kita akan dikebumikan. -Gambar hiasan

SEBAHAGIAN daripada kita mungkin tertanya-tanya, di manakah sebenarnya kita akan dikebumikan? 

Menurut penceramah Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, jenazah seseorang akan dikembalikan ke tanah asal kejadian jasadnya.

"Kamu akan dikebumikan di mana tanah kamu diambil untuk diciptakan kamu. 

"Ada orang yang Allah ambil tanah dari Makkah untuk jadikan dia. Maka, dia akan balik kepada tanah di mana dia berada di dalam kuburnya.

"Kalau meninggal dunia dekat Kelantan. Maka, jenazah kita ni akan dihantar ke tempat yang tanah diambil itu untuk dijadikan kita," katanya menerusi perkongsian di YouTube [Tonton Video].

Amal soleh adalah bekalan yang akan dibawa selepas kematian. -Gambar hiasan AIAmal soleh adalah bekalan yang akan dibawa selepas kematian. -Gambar hiasan AI

Beliau menegaskan bahawa hakikat ini secara tak langsung mengajar kita untuk tidak berbangga dengan pangkat, kedudukan atau keturunan, kerana semua itu hanyalah pinjaman serta bersifat sementara.

“Segala anugerah dunia hanyalah pinjaman. Naiklah kedudukanmu setinggi mana pun, akhirnya kamu akan kembali ke tanah dan menghadap Allah," katanya.

Ahmad Dusuki turut berkongsi kisah seorang pemuda dari Habsyi yang meninggal dunia di Madinah. 

Katanya, Rasulullah SAW melihat lubang kubur yang digali untuk pemuda itu dan mengingatkan bahawa Allah membawa orang itu dari tanah asalnya untuk dikebumikan di Madinah menunjukkan kuasa Allah dalam menentukan ajal dan tempat kematian hamba-Nya.

Begitu juga, ramai orang soleh meninggal dunia dan dikebumikan di perkuburan Baqi’ di Madinah, termasuk sahabat Rasulullah SAW. 

"Mereka mendapat keistimewaan syafaat daripada Rasulullah SAW kerana Allah memilih tempat itu sebagai tempat persemadian mereka," katanya.

Beliau menegaskan bahawa peringatan tentang kematian bukan untuk menakutkan, tetapi untuk membimbing kita supaya sentiasa bersedia menghadapi ajal.

“Hidup di dunia ini hanyalah sementara, amal soleh adalah bekalan kita. Fokuskan diri pada akhirat kerana itulah yang kekal,” katanya.

Artikel Lain

Rezeki Iskandar Ismail juara GV12