suria

Dapat info kena bersunat, ramai bakal saudara baharu tangguh hasrat peluk Islam... Ini pandangan ulama yang perlu anda tahu

Mualaf yang berkemampuan disaran berkhatan. -Gambar hiasan AI

RAMAI beranggapan berkhatan adalah perkara pertama yang mesti dilakukan golongan mualaf selepas memeluk Islam. 

Menurut Hidayah Centre Foundation Pulau Pinang, tanggapan tersebut menyebabkan ada segelintir daripada mereka menangguhkan hasrat memeluk Islam kerana takut tidak bersedia.

"Dalam soal hukum berkhatan, terdapat beberapa perbezaan pandangan ulama mengenainya. 

"Ada yang mewajibkan amalan berkhatan, tetapi ada juga yang menyatakan bahawa ia tidaklah wajib," kata badan bukan kerajaan (NGO) itu di Facebook.

Berikut adalah pendapat para ulama mengenai hukum berkhatan:

- Menurut pandangan yang dinyatakan oleh Imam Syafie, wajib hukumnya bagi orang lelaki dan perempuan untuk berkhatan

- Menurut pandangan Imam Abu Hanifah dan juga Imam Malik, hukum berkhatan adalah sunat bagi orang lelaki dan juga perempuan.

- Ada juga pendapat ulama yang menyatakan bahawa hukum bersunat ini adalah wajib ke atas lelaki, tetapi sunat kepada orang perempuan.

"Disebabkan wujudnya perbezaan pandangan ulama mengenai hukum berkhatan, individu mualaf mempunyai pilihan untuk melakukan khatan atau tidak.

"Jika mualaf tersebut berkemampuan untuk berkhatan, maka lakukanlah," katanya.

Tambah NGO itu, Imam Hassan Al-Basri turut menekankan bahawa individu dewasa yang baru memeluk Islam diringankan daripada kewajipan ini.

"Dalam hal ini, perlu diketahui bahawa keislaman seseorang itu bukan dinilai daripada segi berkhatan atau tidak, tetapi daripada segi akidahnya," katanya.

Artikel Lain