suria

Lirik ‘double meaning’ memalukan, JoBranko jaga jati diri Melayu... Dangdut bukan lesen buat lagu lucah

JoBranko tidak setuju penggunaan perkataan 'double meaning' dalam lagu.

GITARIS kumpulan Barbarik, Jo Branko, berkata trend penggunaan lirik berunsur double meaning dalam muzik disifatkan sebagai sesuatu yang memalukan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan penyanyi wanita.

Menurut Jo, atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 57, lirik lagu seharusnya menjadi medium untuk menyampaikan nilai dan keindahan bahasa, bukannya alat untuk meraih populariti secara mudah.

“Ada sesetengah pihak memilih jalan singkat untuk meraih populariti dan apabila perkara itu melibatkan artis wanita, pada saya ia sesuatu yang memalukan. Secara jujurnya, memang tidak wajar dilakukan.

Jo anggap pengkarya muzik mempunyai tanggungjawab sosial dalam menghasilkan sesebuah karya.

“Sebab itu, pada zaman kami dahulu, apa yang dipanggil lirik sebenarnya bukan sekadar lirik. Kami menyebutnya sebagai seni kata kerana di situlah terletaknya nilai seni.

“Apabila nilai seni itu hilang, maka lirik tersebut tidak lagi mempunyai jiwa,” katanya kepada mStar.

Berkongsi lanjut, Jo memberitahu sebagai orang Melayu yang mempunyai jati diri, nilai kesopanan dan adab perlu dipelihara, apatah lagi dalam karya seni yang dipersembahkan kepada umum.

ARTIKEL BERKAITAN: JoBranko ingatkan artis jangan ambil mudah soal masa… “Jika perlu berhenti pukul 12, maka berhentilah”

ARTIKEL BERKAITAN: “Kemasukan bekas ahli Wings dalam Barbarik berlaku secara spontan”– JoBranko

Tambahnya, album terdahulu dihasilkan dengan penuh teliti dan tidak dibuat secara sambil lewa, terutamanya dari segi pemilihan seni kata.

“Orang Melayu masih ada nilai dan jati diri. Perkara ini sangat menyedihkan kerana apabila difikirkan secara mendalam, sampai ke kampung halaman, ibu bapa juga akan tahu apa yang anak mereka dengar. Kita perlu fikir sejauh itu.

“Seni kata yang digunakan benar-benar dititikberatkan. Namun pada zaman sekarang, mungkin ada yang mahu mengikut arus semasa, mahu mencipta sensasi atau cerita tertentu.

Apabila perkara itu melibatkan artis wanita, pada saya ia sesuatu yang memalukan.

JOBRANKO

GITARIS BARBARIK

“Tetapi apabila dilakukan secara berlebihan, ia kelihatan terdesak dan tidak sesuai, apatah lagi jika populariti dicari melalui cara sebegitu. Mungkin suatu hari nanti mereka akan sedar akan kesilapan tersebut dan saya berharap begitu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jo turut menegaskan bahawa genre dangdut bukan alasan atau lesen untuk menghasilkan lirik lagu yang berunsur lucah.

“Ada yang beranggapan genre seperti dangdut memberi kelonggaran untuk menghasilkan lirik berunsur lucah, namun saya tidak bersetuju.

Jo tak setuju alasan genre dangdut digunakan untuk mencipta lirik lucah.

“Dangdut sebenarnya tidak bermasalah. Yang menjadi masalah ialah apabila ada pihak menganggap dangdut sebagai muzik lucah. Persepsi ini akhirnya merosakkan imej genre itu sendiri,” jelasnya.

Sebelum ini, industri hiburan tempatan dikejutkan dengan isu seorang penyanyi wanita yang popular dengan genre dangdut didakwa menghasilkan lirik lagu berunsur lucah sehingga menerima kecaman hebat daripada netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain