suria

Fattah Amin jumpa Fahmi Fadzil, komited perangi isu buli siber

Fattah (kiri) bertemu dengan Fahmi untuk membincangkan tentang isu buli siber.

PELAKON Fattah Amin menzahirkan komitmen untuk berganding bahu sebagai wakil penggiat industri hiburan tanah air dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap keselamatan dan etika di ruang digital.

Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 36, berkata kunjungannya ke pejabat Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil membawa mesej bahawa golongan selebriti juga berperanan penting dalam membentuk persekitaran digital lebih sihat.

Menurutnya, sebagai individu yang aktif di media sosial, sudah tiba masanya semua pihak memainkan peranan dan menjadikan internet sebagai ruang yang lebih selamat.

Amira (kiri) dan Fattah (tengah) sering menjadi mangsa buli siber di media sosial.

"Alhamdulillah, baru-baru ini saya berpeluang mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Menteri Komunikasi bersama Fahmi Fadzil bagi menyatakan sokongan terhadap usaha memperkasakan Kempen Internet Selamat. 

"Pertemuan ini amat bermakna buat saya dan isteri (Amira). Ia bukan sekadar mewakili kami berdua tetapi juga sebagai tanda komitmen untuk bersama-sama dengan industri hiburan tanah air dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan keselamatan dan etika di ruang digital.

"Sebagai individu yang juga berdepan realiti dunia media sosial hari ini, saya percaya sudah tiba masanya kita semua memainkan peranan untuk menjadikan internet sebagai ruang yang lebih selamat, beradab dan penuh empati," katanya.  

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Fattah Amin tegur komen negatif ketika ‘live’, minta hormati usaha cari rezeki

ARTIKEL BERKAITAN: Sabar dan ikhlas, Fattah Amin  sentiasa bersangka baik… Amira Othman puji keperibadian suami

Fattah berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya. 

Dalam pada itu, Fattah turut menegaskan kesediaannya untuk menggalas tanggungjawab tersebut secara serius demi manfaat masyarakat dan generasi akan datang.

"Saya dengan rendah hati mengambil inisiatif ini untuk bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan insya-Allah akan berusaha menggalas tanggungjawab ini sebaik mungkin demi kebaikan masyarakat serta generasi akan datang.

"Mari kita sama-sama mengingatkan diri kita, Internet harus digunakan dengan selamat. Hapus buli siber!," ujarnya. 

Sementara itu, di platform Threads, netizen memuji usaha Fattah dan Amira yang dilihat proaktif serta tidak berdiam diri dalam mendepani isu buli siber.

Netizen menyokong tindakan Fattah untuk membanteras gejala buli siber.

Seorang pengguna turut mendakwa Fattah sebenarnya mengambil pendekatan tersusun dengan mengumpul bukti terhadap pihak yang menyebarkan fitnah dan kata-kata kesat.

"Fattah tak kosong ya diam-diam dia buat kerja kumpul segala bukti yang haters sebar fitnah dan mengata kata-kata kesat terhadap dia, isteri dan keluarga. 

"Dia diam bukan bermakna dia boleh dibuli ya, itu semua screenshot yang haters tulis, tebal bukti-bukti yang dia kumpul," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain