suria

Pada usia emas masih ligat atas jalan raya... Wanita ini titip penghargaan buat bapa, tak mengeluh pikul tugas arwah menantu

Fatin begitu menghargai pengorbanan bapanya yang menggalas tugas arwah suami.

PENGORBANAN seorang lelaki bergelar bapa benar-benar tiada tandingannya.

Itulah yang cuba disampaikan seorang ibu tunggal, Fatin Yusuf, 30, tentang peranan bapanya Yusuf Puteh, 75, dalam memikul semula tanggungjawab menjaganya serta dua anak kecil selepas pemergian suami.

Menerusi coretan di media sosial hingga mengundang sebak ramai, Fatin menceritakan bagaimana bapanya tidak pernah berkira membantu, malah berusaha menggantikan peranan arwah menantunya.

Yusuf (kanan) menghantar dua cucunya yang masih kecil ke sekolah.

"Lepas suami meninggalkan kami, abah yang banyak membantu. Dia kembali memikul dan mengambil tanggungjawab menjaga saya dan cucu-cucunya. Abah ganti semua tugas arwah suami saya.

"Kalau boleh semua benda dia nak tolong sampai kadang-kadang saya enggan beritahu apa-apa sebab tak nak susahkan dia. Abah masih kuat dan gagah pada usia sekarang ni," ujarnya di Thread.

Ketika dihubungi mStar, Fatin berkongsi semula kisah duka yang menimpa keluarganya apabila suami tercinta meninggal dunia secara mengejut pada 22 Mei tahun lalu.

Fatin yang bekerja di sebuah syarikat swasta kini menjadi pencari nafkah utama untuk sepasang cahaya mata yang masing-masing berusia empat dan dua tahun.

Selepas kehilangan suami, Fatin kembali tinggal bersama ibu bapanya di ibu kota.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa cuma sayang anak lelaki, wanita dedah jadi hamba dalam keluarga! Hidup penuh caci maki

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita simpan dendam dengan bapa, kecewa jadi mangsa nafsu poligami! Hanya tahu ‘buat’ anak, abai nafkah keluarga

"Ayah saya dah pencen jadi memang kerja dia hantar dan ambil cucu dari sekolah je sejak arwah tak ada menggunakan motosikal.

"Suami saya meninggal dunia secara mengejut. Masa hari kejadian tu dia pergi kerja macam biasa, sihat walafiat je. Tiba-tiba dia tumbang dekat tempat kerja dan terus meninggal.

"Saya agak terkejut dengan pemergian suami dan satu berita sedih untuk kami sekeluarga. Buat masa sekarang, saya bertungkus lumus mencari nafkah menyara anak-anak dan ibu bapa," katanya lagi.

Fatin berkata bapanya merupakan seorang bekas pemandu teksi yang sudah lama meninggalkan kerjaya itu.

Terdahulu swafoto yang dikongsikan Fatin di Threads yang memaparkan bapanya dalam keadaan basah sambil memakai baju hujan dan helmet meraih lebih 11,000 tanda suka.

  • Kisah Fatin Yusuf tular selepas dia berkongsi penghargaan terhadap ayahnya yang menjaga dirinya dan dua anak sejak suaminya meninggal.
  • Ayahnya tidak pernah berkira membantu dan sentiasa menggantikan peranan arwah menantu, termasuk menghantar cucu ke sekolah setiap hari.
  • Suami Fatin meninggal mengejut pada 22 Mei tahun lalu, menjadikan Fatin satu-satunya pencari nafkah untuk dua anak kecil.
  • Tinggal bersama ibu bapa, Fatin bergantung kepada ayahnya seorang bekas pemandu teksi yang banyak membantunya bergerak ke tempat kerja.
  • Swafoto ayahnya memakai baju hujan meraih lebih 8,000 tanda suka, dan Fatin menulis ia sebagai tanda terima kasih atas pengorbanan ayahnya.

Bagi Fatin, coretannya hanyalah satu penghargaan terhadap insan yang menjadi tulang belakangnya sepanjang setahun lebih menghadapi kehidupan sebagai ibu tunggal.

"Ayah sangat membantu meringankan beban yang saya pikul terutama dalam pengurusan anak-anak. Lepas hantar anak ke sekolah, dia juga hantar saya ke stesen train untuk pergi kerja.

"Kalau cuaca hujan, dia tak pernah merungut untuk hantarkan. Saya buat posting penghargaan tu sebab saya sedih, walaupun ayah dah tua tapi tetap kuat nak bagi pertolongan.

"Saya tak mampu nak balas jasa dia yang terlampau banyak dalam menjaga saya dan keluarga. Patutnya umur macam dia tu dah kena berehat saja dekat rumah," ujarnya menutupi kisah.

Artikel Lain