suria

Rezeki selepas viral, Razzuan Rosli terima tawaran berlakon filem berbahasa Mandarin

Razzuan tidak menyangka ditawar berlakon filem.

SELEPAS tular video fasih berbahasa Mandarin, pelakon Razzuan Rosli tidak menyangka ia membawa rezeki lebih besar buatnya apabila mendapat tawaran sebuah filem yang dijangka untuk pasaran antarabangsa.

Kata Razzuan, 35, meskipun belum memulakan penggambaran, namun dia percaya ia adalah satu peluang terbaik untuk terus mengukuhkan nama dalam industri selain memartabatkan karya tempatan.

“Terkejut dan tak sangka rezeki datang. Saya bukanlah seorang pelakon yang sangat dikenali, namun aturan Tuhan telah ditetapkan sebegitu.

Berlakon filem pasaran antarabangsa dianggap sebagai satu peluang terbaik buat Razzuan. 

“Selepas menerima tawaran, saya berfikir dan berdoa memohon petunjuk. Bagi saya, ini adalah peluang membawa nama Malaysia kerana filem ini adalah untuk pasaran antarabangsa,” katanya kepada mStar.

Menurut Razzuan, menerusi filem berjudul Grab Boy Cinematic Universe itu,  dia akan membawa watak seorang jejaka Melayu yang perlu berbahasa Mandarin.

Karya produksi tempatan itu dijangka memulakan penggambaran pada hujung 2026.

ARTIKEL BERKAITAN: Andy Teh bawa insan tersayang ke set penggambaran, ayah tak mampu tahan sebak 

ARTIKEL BERKAITAN: Nabila Razali kini lebih hargai masa, tak mahu lepas peluang tengok anak membesar

Biarpun fasih berbahasa Mandarin, namun Razzuan tidak mahu mengambil mudah akan tawaran tersebut.

“Setakat ini saya sudah ‘lock’ dengan produksi tersebut. Pihak mereka kini dalam persiapan sebelum memulakan penggambaran.

“Tugas saya juga adalah untuk melakukan persiapan mendalami watak. Saya perlu belajar bercakap bahasa Mandarin dengan lebih fasih dan betul. Saya sendiri akan mengambil kelas bahasa.

“Filem ini membawa elemen Malaysia, jadi saya tidak mahu mengambil mudah apabila ditayangkan di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Video Razzuan berniaga di pasar malam sebelum ini tular di media sosial. 

Sebelum ini, tular beberapa video memaparkan Razzuan berkomunikasi dengan pelanggan dalam bahasa Mandarin ketika menjalankan perniagaan produk minuman di sebuah pasar malam di Johor.

Menerima pelbagai reaksi, pelakon itu juga tidak menyangka ada dalam kalangan pelanggan bukan berbangsa Melayu yang menonton drama lakonannya.

“Ketika berniaga di pasar malam, saya tidak membawa nama sebagai artis. Tidak kisah jika orang tidak tahu saya pelakon.

“Namun, ada juga yang kenal dan yang paling membuat saya terharu apabila seorang pelanggan memberitahu dia menonton drama Panggil Aku Dahlia,” ceritanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain