suria

Pempengaruh tak puas hati Adam Shahz buat reviu percuma, dakwa cuba jadi ‘hero’ ganggu periuk nasi

Adam mendapat teguran susulan niat melakukan reviu secara percuma.

PELAKON Adam Shahz meluahkan rasa kesal apabila menerima mesej daripada seorang pempengaruh yang menuduh dirinya cuba mengganggu peluang bagi mencari pendapatan.

Menurut Adam atau Nor Shah Azli Abdol Ghani, 45, perkara tersebut timbul selepas dia membuat tawaran untuk melakukan perkhidmatan reviu secara percuma sepanjang bulan Ramadan yang akan tiba.

“Ada influencer tak puas hati, dia kata saya kacau periuk nasi orang lain. Merata dia DM (direct message), saya baru perasan,” katanya.

Adam menulis perkara tersebut dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Threads miliknya pada Ahad.

Perkongsian Adam di Threads.

Perkongsian Adam di Threads. 

Memetik kembali mesej yang diterima, individu berkenaan seakan-akan berang kerana tindakan Adam dipercayai boleh menjejaskan pendapatan golongan pempengaruh yang banyak melakukan khidmat reviu dengan mengenakan bayaran.

Malah, pelakon itu juga didakwa cuba menjadi ‘hero’ dalam membantu peniaga.

Adam juga secara terbuka memohon maaf dan menegaskan dia tidak pernah berniat untuk menjejaskan punca pendapatan orang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Jumlah pengikut Instagram kurang 500,000, Adam Shahz berang syarikat produksi pilih bulu 

ARTIKEL BERKAITAN: Adam Shahz lembut hati, sedia serah hak jagaan anak kepada Fatin Afeefa… “Saya tak mahu kes ini berlarutan”

“Maaflah ye, saya bukan nak ganggu periuk nasi orang lain.

“Kalau cara saya ini salah, saya minta maaf,” luahnya.

Sebelum ini, menerusi satu hantaran di Instagram, Adam sedia bekerjasama dengan mana-mana produk untuk melakukan reviu secara percuma sepanjang Ramadan.

Adam aktif melakukan reviu produk di sosial media. 

Dia dalam masa sama berharap jumlah pengikut di laman sosialnya meningkat kepada 200,000 agar setiap reviu yang dilakukan dapat memberi impak.

“Doakan follower saya cecah 200,000, lepas itu saya buat reviu percuma sepanjang bulan Ramadan.

“Kalau follower tak ramai, takut tak beri impak masa saya promosikan. Jadi mari kita bekerjasama,” ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain