suria

Ibu larang anak tayang bahagia lepas kahwin, ibarat dulu hidup terseksa bawah jagaan mak ayah!

Suami isteri dinasihatkan untuk tidak terlalu mempamerkan kebahagiaan di media sosial. -Gambar hiasan

PENGALAMAN, ujian dan cabaran dalam kehidupan sememangnya mematangkan dan mendewasakan manusia.

Walaupun begitu, sejak kecil hingga dewasa, mereka yang bergelar ibu bapa juga tidak pernah jemu menasihati anak-anak dalam banyak perkara.

Di Threads, seorang individu terkenangkan nasihat ibunya ketika dia masih bersekolah, yang mana pada masa itu seorang sepupunya baru melangsungkan perkahwinan.

Perkahwinan menyatukan hati dan jiwa dua insan. -Gambar hiasan

"Masa aku sekolah dulu, cousin aku yang baru kahwin upload gambar wedding dia dekat Facebook. Aku tak ingat caption penuhnya, tapi dia ada selit ayat 'rasa bahagia'," dia memulakan perkongsian.

Melihat perkongsian sepupunya itu, ibunya berasa kurang selesa lantas berpesan kepada dirinya supaya tidak bertindak seperti itu apabila sudah berumah tangga kelak.

"Mak aku warning aku. Dia kata, kau dah kahwin esok jangan nak kata rasa bahagia sangat macam dia tu.

"Bila aku tanya kenapa, mak jawab... Habis sebelum kahwin, masa duduk dengan mak bapa tak rasa bahagia? Rasa sengsara? Macam mak bapa tu tak jaga elok-elok je.

"Jujurnya apa yang mak aku kata, itulah yang aku rasa. Bezanya aku tak upload dekat mana-mana media sosial," katanya yang kini telah 10 tahun berkahwin.

ARTIKEL BERKAITAN: Makcik lebih sudu dari kuah, ‘cucuk’ keluarga tolak calon pilihan anak buah sebab kerja kilang… Wanita bersyukur bapa restu walaupun dipulau famili ibu

ARTIKEL BERKAITAN: “Post sebagai tanda masih hidup” - Rupanya masih ramai tahu jaga privasi, tak suka tayang hal peribadi di media sosial

Wanita itu menjelaskan, dia bukan berasa sengsara ketika zaman bujang atau semasa tinggal dengan ibu bapanya tetapi mengakui berasa lebih bahagia apabila berkahwin.

Tambahnya lagi, hanya selepas berkahwin dia mempunyai seseorang (suami) untuk bercakap apa sahaja dan berpeluang mengatur hidup mengikut kemahuan dan kemampuan diri sendiri.

"Aku rasa dilindungi, Alhamdulillah. Semua ni aku tak dapat masa aku single dulu," katanya.

Menurut wanita ini lagi, dia sama sekali tidak menafikan bahawa kedua-dua orang tuanya banyak berjasa dengan melahir, mengasuh dan mendidik dirinya sejak bayi hingga dewasa.

Namun, terdapat memori pahit yang membekas dalam dirinya sehingga membuatkan dia bersyukur menjalani kehidupan sendiri selepas berkahwin.

"Mak bapa aku ada jasanya dalam membesarkan aku, aku hargai. Tapi aku banyak membesar dalam keadaan yang tak seronok. Banyak memori pahit daripada manis.

"Aku selalu dibanding beza, suara aku tak didengari dan tak penting. Aku selalu dilabel dengan perkataan seperti 'pemalas', 'tak berguna' dan selalu dimarahi atas sebab yang aku sendiri tak tahu," jelasnya.

  • Seorang wanita berkongsi nasihat ibunya yang melarang dirinya tayang kebahagiaan di media sosial setelah berkahwin.
  • Ibu merasakan perkongsian sebegitu menunjukkan kepada umum bahawa kehidupan di bawah jagaan ibu bapa sebagai sengsara.
  • Walau ikut nasihat ibu, namun dia mengakui hakikat kehidupannya lebih bahagia lepas berkahwin.
  • Setelah memiliki pasangan, dia bebas kongsi masalah dan atur kehidupan sendiri
  • Sebelum berkahwin banyak perkara perlu pendam dalam hati termasuklah peristiwa dibuli

Dia kemudian menceritakan kemelut zaman persekolahan yang masih lagi menghantui dirinya sehingga ke hari ini.

"Zaman sekolah dulu aku kena buli. Tapi tiada siapa yang pertahankan untuk aku. Parents aku biarkan aku seolah-olah aku layak dibuli dan dicerca oleh orang lain.

"Aku simpan dan pendam banyak benda selama bertahun-tahun, sebab aku tak ada tempat untuk bercerita," katanya lagi.

Malah, dalam insiden di mana dia hampir dirogol, keluarga hanya bersikap acuh tak acuh.

"Aku hampir dirogol masa nak balik sekolah, tapi family aku buat biasa sahaja. Report polis pun cikgu yang bawa dan buat. Tak ada langsung yang datang untuk beri kata semangat pada aku.

"Jadi bila aku dah berkahwin, aku rasa bahagia. Bahagia tu datang sendiri. Allah yang bagi, Alhamdulillah. Jadi memang salah ke aku rasa 'bahagia' yang macam mak aku sebut tu?" luahnya.

Antara komen warga Threads.

Menjengah ruangan komen, beberapa individu mengakui hakikat ada ibu bapa bersikap terlalu mengawal, menyebabkan anak-anak hanya mampu memendam rasa sepanjang berada di bawah jagaan orang tua.

Bagaimanapun ada juga yang berkongsi tentang ibu bapa mereka yang sentiasa mendoakan kebahagiaan anak-anak selepas berkahwin.

"Tak boleh bersuara sebab apa? Sebab nampak kita kurang ajar. Sebab tu bila saya dah kahwin, saya rasa bahagia. Saya boleh luahkan je apa yang saya nak, rasa bebas sungguh bila dah kahwin.

"Pernah depan my mom, saya cakap seronoknya ada anak bila kakak sepupu bersalin. Mak tengok saya cakap, Siapa cakap ada anak seronok? Macam tu je cakap depan kakak sepupu. Kitanya tumpang bahagia.

"Mak saya kalau saya cakap bahagia dalam perkahwinan, dia la paling tumpang bahagia. Sebab dia takut sangat kalau anak-anak dia tak bahagia.

"Sampai dia cakap, rumah dia jangan jual. Kalau anak-anak perempuan tak bahagia baliklah rumah dia," demikian antara perkongsian netizen.

Artikel Lain