suria

Liza Abdullah akui pemergian Nadia Kesuma beri kesan mendalam, banyak perkara tak sempat selesaikan bersama

Liza akui rasa ralat tak dapat jumpa Allahyarham buat kali terakhir.

PELAKON Liza Abdullah mengakui pemergian aktres Allahyarham Nadia Kesuma meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya.

Menurut Liza atau Norliza Abdullah, 62, kehilangan rakan seperjuangan itu begitu dirasai kerana ikatan persahabatan yang sudah terjalin sekian lama.

“Walaupun kami ini hanyalah sahabat dan kawan, tapi pemergiannya tetap memberi kesan yang mendalam.

Liza sifatkan arwah seorang yang sangat baik.

“Apabila berkawan, perasaan kehilangan itu terasa lebih berat. Kami selalu berkata, setiap kali keluar bermusafir bersama, kita tidak pernah tahu siapa yang akan pergi dahulu.

“Maksudnya, apabila seseorang pergi, yang tinggal hanyalah ahli keluarga dan kenangan. Orang yang pergi itu tidak akan kembali dan itulah yang paling terasa,” katanya kepada mStar.

Berkongsi lanjut, Liza berkata Nadia seorang insan yang terlalu baik dan disenangi ramai, sekali gus membuatkan pemergiannya sukar diterima.

Malah, kata Liza, kebaikan Allahyarham sentiasa terpahat di hatinya sehingga sukar dilupakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon Nadia Kesuma hilang di Jeddah rupanya meninggal dunia akibat sakit jantung

ARTIKEL BERKAITAN: Suami tak sabar tatap wajah jenazah Nadia Kesuma, anak menangis tak dapat ikut ke Jeddah… Kongsi makanan kegemaran arwah

“Sebagai seorang yang mengenalinya, perasaan sedih itu hadir kerana dia seorang yang terlalu baik. Dia ibarat adik yang sangat baik, dengan begitu banyak kebaikan sehingga saya sendiri tidak pernah putus menyebutnya.

“Namun, sebagai seorang Islam, kita diajar untuk bersedih hanya tiga hari. Lebih daripada itu tidak digalakkan, tetapi hakikatnya kita ini manusia biasa.

“Perasaan itu tetap hadir. Tambahan pula apabila selama ini sentiasa berhubung dan saling bertanya keadaan masing-masing, tiba-tiba sahaja orang itu tiada,” jelasnya.

Sebagai seorang yang mengenalinya, perasaan sedih itu hadir kerana dia seorang yang terlalu baik.

LIZA ABDULLAH

PELAKON

Dalam pada itu, Liza turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak berkesempatan bertemu Nadia buat kali terakhir, selain banyak perkara yang belum sempat diselesaikan bersama.

“Banyak sebenarnya yang terbuku di hati ini sebab banyak kenangan kami bersama. Masa dia pergi banyak yang tak selesai dengan dia.

“Dia pergi saya tak dapat jumpa langsung. Saya tahu meninggal dunia dan Allah sudah tentukan serta menganggap apa yang terjadi itu bersebab,” ujarnya.

Antara foto kenangan Liza dan arwah.

Untuk rekod, Allahyarham Nadia Kesuma meninggal dunia pada 15 Januari lalu selepas rebah di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, Arab Saudi. 

Difahamkan, arwah meninggal dunia akibat sakit jantung.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Dahaban, Jeddah, pada 19 Januari 2026.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain