suria

Nadia Kesuma meninggal dunia akibat sakit jantung

Nadia dilapor meninggal dunia akibat serangan jantung di Jeddah.

PELAKON Nadia Kesuma yang dilapor hilang sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada 15 Januari lalu meninggal dunia akibat sakit jantung. 

Berita duka itu disahkan anak perempuannya dikenali Myra menerusi Threads yang memaklumkan pemergian ibu tercinta. 

“Assalamualaikum semua, saya ingin memaklumkan bahawa mama saya, Nadiah Kasumawati Binti Abdul Karim telah pun kembali ke Rahmatullah pada 15 Januari lalu (Khamis) kira-kira pukul 8.05 pagi.

Berita pemergian Nadia dimaklumkan anak perempuannya pada pagi Ahad.

“Terima kasih kepada kalian yang tidak berhenti menitipkan doa buat mama. Mohon doakan arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, diampunkan segala dosanya dan dirahmati Allah.

“Arwah meninggal disebabkan sakit jantung dan kemudiannya telah dibawa ke hospital pada hari yang sama arwah tiba di Lapangan Terbang Jeddah.

“Tiada pihak yang memaklumkan kepada kami sekeluarga tentang keadaan arwah sehinggalah malam ini pada pukul 11.10 malam. Berita tersebut disampaikan oleh Travel Agency itu sendiri,” tulisnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ke mana Nadia Kesuma menghilang, dikesan sudah tinggalkan lapangan terbang Jeddah

ARTIKEL BERKAITAN: Agensi umrah cerita kronologi kehilangan Nadia Kesuma di Jeddah

Nadia atau nama sebenarnya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, yang membintangi filem Syaitan Munafik dan Kudeta sebelum ini dilaporkan gagal dikesan selepas tiba di Jeddah pada Khamis ketika dalam perjalanan mengikuti pakej umrah ziarah bersama sebuah agensi.

Dia bersama jemaah lain sepatutnya meneruskan penerbangan ke London selepas transit di Jeddah selama beberapa jam.

Namun begitu, Nadia tidak muncul ketika jemaah lain berkumpul untuk meneruskan perjalanan.

Artikel Lain