suria

Ke mana Nadia Kesuma menghilang, dikesan sudah tinggalkan lapangan terbang Jeddah

Nadia dilaporkan sudah meninggalkan Jeddah.

PELAKON Nadia Kesuma yang dilaporkan hilang ketika berada di Arab Saudi, dikesan telah meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berdasarkan semakan rekod keluar masuk Jabatan Imigresen Arab Saudi mendapati pelakon tersebut telah keluar dari lapangan terbang Jeddah.

"Beliau (Nadia) pergi ke Arab Saudi dengan syarikat pengendali umrah dan rekod menunjukkan Nadia telah keluar dari lapangan terbang Jeddah di Arab Saudi.

Nadia hilang dikesan selepas tiba di Jeddah pada Khamis.

"Laporan polis akan dibuat selepas 20 jam proses pencarian dilakukan dengan mengikut prosedur operasi standard prosedur (SOP)," katanya kepada media. 

Dalam perkembangan lain, kehilangan Nadia turut telah dimaklumkan kepada pihak polis Arab Saudi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman berkata pihaknya telah mengemukakan laporan berhubung kehilangan pelakon berkenaan dan kini menunggu maklum balas rasmi daripada pihak berkuasa tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Agensi umrah cerita kronologi kehilangan Nadia Kesuma di Jeddah

ARTIKEL BERKAITAN: “Stranger merujuk jemaah lain yang dia jumpa di KLIA” – suami Nadia Kesuma betulkan salah faham, bukan jumpa individu ‘pelik’

"Kita sedang tunggu hasil penyiasatan daripada pihak polis Arab Saudi," ujarnya. 

Nadia sebelum ini dilaporkan gagal dikesan selepas tiba di Jeddah pada Khamis ketika dalam perjalanan mengikuti pakej umrah ziarah bersama sebuah agensi.

Dia bersama jemaah lain sepatutnya meneruskan penerbangan ke London selepas transit di Jeddah selama beberapa jam.

Namun begitu, Nadia tidak muncul ketika jemaah lain berkumpul untuk meneruskan perjalanan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Bekas wartawan FMT ditahan