SETIAP kali tibanya tanggal 31 Ogos, kenangan 20 tahun lalu pasti menjengah ingatan pemuda bernama Luthfil Hadi Mujib Ahmad.
Mana tidaknya, dia yang mengetuai laungan Merdeka pada sambutan Hari Kebangsaan ke-48 pada 2005, mencuri tumpuan ramai termasuk Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, apabila tersasul menyebut kalimat keramat itu.
Video [Tonton Video] memaparkan momen berkenaan yang disiarkan semula oleh akaun TikTok Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini, mencuit hati warga maya yang terhibur dengan insiden lucu tetapi penuh semangat itu.
Mengimbas kembali momen berkenaan, pemuda yang senang disapa sebagai Hadi ini berkata, dia sama sekali tidak menyangka kejadian sedemikian berlaku kerana segala-galanya berjalan lancar setiap kali rehearsal.
Keratan akhbar 20 tahun lalu yang disimpan Hadi.
"Masa rehearsal memang okay, tak ada tersasul. Kisahnya, pada hari kejadian, saya gugup bila ternampak ada tetamu kenamaan.
"Sebab masa rehearsal, tiada kenamaan. Laungan 'Merdeka' enam kali lancar sebab kita kan masih rendah (fizikal), eyelevel bawah pentas.
"Masa laungan ketujuh, mata terpandang atas dan nampak tetamu kenamaan, itu yang gugup dan laungan 'Merdeka' terpotong jadi 'Merde...' dan terus Daulat Tuanku.
ARTIKEL BERKAITAN: Wanita tak senang trend pertandingan pakaian beragam sempena Hari Kebangsaan di sekolah... Mak ayah buat kerja lebih!
ARTIKEL BERKAITAN: Naik bas seorang diri dari Taiping ke Putrajaya demi sambut merdeka, wanita menangis depan Tunku Azizah
"Saya sedar tersasul dan rasa terkilan juga sebab tak perfect. Namun bila renung, saya lebih banyak bersyukur dan bangga kerana terpilih menjadi lead daripada semua murid di Malaysia dan hanya berusia tujuh tahun ketika itu," ujarnya sewaktu dihubungi mStar.
Bekas pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Yak Chee, Puchong ini berkata, dia gembira apabila mendapat tahu video berkenaan disiarkan di media sosial selepas sekian lama berusaha mencari rakaman berkenaan.
"Zaman 20 tahun lalu tak ada media sosial macam sekarang. Saya hanya ada keratan akhbar saja yang disimpan sebagai kenangan.
"Akhirnya ada juga rakaman visual yang boleh disimpan sebagai kenangan," ujar pemuda berusia 27 tahun ini.
Luthfil Hadi Mujib Ahmad pernah mencuri tumpuan ketika mengetuai laungan Merdeka pada Hari Kebangsaan ke-48, apabila tersasul sebut kalimat keramat itu di hadapan Yang di-Pertuan Agong.
Video insiden tersasul itu yang disiarkan semula oleh RTM di TikTok mencuit hati netizen.
Menurut Hadi, segalanya berjalan lancar semasa latihan, namun dia gugup apabila melihat kehadiran tetamu kenamaan semasa acara sebenar.
Kini berusia 27 tahun, Hadi berkata pengalaman itu menjadi kenangan manis yang membanggakan kerana terpilih dalam kalangan ribuan murid seluruh Malaysia.
Dia tidak pernah terlepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan saban tahun dan menyeru generasi muda agar menghargai kemerdekaan yang diperjuangkan.
Berbicara soal Hari Kebangsaan, Hadi yang kini merupakan usahawan dalam bidang pemasaran video berkata, dia sendiri tidak melepaskan peluang menghadiri sambutan hari bersejarah itu setiap tahun untuk merasai pengalaman sebenar berada di tengah-tengah rakyat Malaysia yang bersatu dalam semangat patriotisme.
"Memang boleh dikatakan setiap tahun, kalau boleh tak terlepas pergi sambutan Hari Kebangsaan. Bila tengok secara live dengan rakyat Malaysia, automatik semangat patriotik tinggi. Lagi-lagi bila laungan Merdeka, memang meremang.
Hadi sempat meluangkan masa di Dataran Putrajaya sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 tahun ini.
"Kami generasi muda beruntung sebab wujud selepas negara dah merdeka, sekarang serba-serbi cukup.
"Mungkin kita tak rasa kemanisannya sebab lahir je semua dah ada. Jadi salah satu cara nak hargai pengorbanan serta perjuangan wira, hayatilah kemerdekaan sebab ia perkara besar dan berharga.
"Bila kita tengok dan bandingkan dengan negara luar, apa yang kita ada sekarang membuatkan kita patut bersyukur kerana lebih beruntung," akhirinya.


