TEMPOH lima tahun pertama perkahwinan sering dianggap sebagai fasa penuh cabaran, sama ada dari segi kewangan, penyesuaian diri, mahupun membina kehidupan bersama.
Namun bagi pasangan Akmal Yusof, 26, dan Suhana Esa, 51, tempoh berkenaan cukup manis dan penuh bermakna biarpun mereka sebenarnya mempunyai jurang usia 25 tahun!
Mana tidaknya, pasangan ini berjaya membina empayar perniagaan berasaskan makanan dan kini sudah mempunyai tiga cawangan restoran di selatan tanah air, berkat keserasian dan sokongan antara satu sama lain.
Suhana merupakan bekas guru sekolah Akmal.
"Alhamdulillah, kami syukur... memasuki usia perkahwinan lima tahun, orang kata ia adalah fasa yang penuh dengan cabaran. Lima tahun mendirikan rumah tangga, kami semakin bahagia.
"Rahsianya toleransi, kejujuran dan komunikasi," ujar Akmal ketika dihubungi mStar.
Pasangan ini pernah mencuri tumpuan warga maya pada 2021 selepas perkongsian video di TikTok memaparkan detik perkenalan yang bermula hanya sebagai pelajar dengan guru pada 2016, berakhir hingga ke jenjang pelamin tahun 2020.
mStar turut menyiarkan kisah pasangan tular ini menerusi artikel yang diterbitkan pada 20 Ogos 2021.
"Sebenarnya, selepas video dan kisah mengenai kami viral, ramai juga pelanggan yang singgah makan di restoran kami, Samballana Bistro untuk berjumpa dengan tuan badan.
"Yangmenariknya, ada pasangan datang, jalan cerita mereka juga macam kami... iaitu pasangan yang berbeza usia. Sampai ada yang datang dari jauh nak jumpa kami.
"Ada pasangan yang belum kahwin pula minta tip rumah tangga," kongsi Suhana pula.
Masih lagi bergelar guru biarpun berkecimpung dalam bidang perniagaan, Suhana berkata dia dan Akmal sentiasaberbincang dan berkongsi pandangan meskipun suaminya itu jauh lebih muda, terutamanya perkara melibatkan bisnes.
Akmal Yusof dan Suhana Esa berjaya melalui tempoh lima tahun perkahwinan dengan bahagia walaupun mempunyai jurang usia 25 tahun.
Mereka membangunkan perniagaan makanan bersama dan kini memiliki tiga cawangan restoran di selatan tanah air, hasil keserasian dan sokongan antara satu sama lain.
Kisah mereka pernah tular di media sosial pada 2021, menarik perhatian ramai termasuk pelanggan yang datang untuk bertemu mereka secara langsung.
Pasangan ini sering berbincang dalam membuat keputusan terutamanya dalam urusan bisnes, dan kini merancang membuka lebih banyak cawangan serta menambah ahli keluarga.
Resipi bahagia yang dikongi adalah toleransi dan kejujuran, komunikasi.
"Bermula dengan sebuah restoran di Bandar Tun Hussien Onn, kami berjaya buka cawangan di Johor Bahru. Dan kini, kami sedang sibuk menguruskan pembukaan cawangan ketiga di Melaka pula... Insya-Allah pada September.
"Allah gandakan rezeki selepas berkahwin. Jika ada rezeki, kami merancang mahu membuka outlet di seluruh Malaysia.
"Mengenai perancangan keluarga pula, kami sememangnya ingin menambah bilangan ahli keluarga… mudah-mudahan," ujar Akmal lagi.
Pasangan ini kini mempunyai tiga cawangan restoran di selatan tanah air.
Dalam pada itu, mereka berduaturut menitipkan nasihat buat pasangan lain khususnya bagi yang merancang untuk mendirikan rumah tangga.
"Terlalu banyak isu penceraian kalau kita tengok di media sosial. Satu pesanan yang boleh dikongsikan, jika berlaku masalah rumah tangga, usah uar-uarkan.
"Rumah tangga kita privasi. Jika berlaku perselisihan, bincang… bukan luah dalam media sosial," tambah pasangan ini lagi.


