suria

Drummer kumpulan Success buntu hilang tempat tinggal, rumah pusaka arwah ibu dilelong... Habis segala barang kemas sudah digadai

Eddy dan isteri di hadapan kediaman mereka.

SUDAH jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib dummer kumpulan Success iaitu Eddy yang berdepan ujian hidup apabila rumah pusaka milik keluarganya di Kota Bharu, Kelantan dilelong pihak bank tahun lalu.

Eddy atau Roshamidi Halim, 51, berkata dia sudah cuba mempertahankan satu-satunya harta peninggalan arwah ibunya, namun hampa apabila pemilik baharu enggan memberi kerjasama sehingga dia terpaksa meninggalkan kediaman tersebut dengan kadar segera.

"Rumah pusaka itu nilainya tinggi sebab miliki tanah seluas 10 ekar dan sebuah banglo yang  mempunyai lebih 12 bilik, dapur, ruang makan, bilik tetamu dan sebuah dewan. Nilai pasaran rumah itu dianggarkan hampir RM2 juta.

Eddy bersama tiga anak dan isterinya.

"Tapi tahun lepas rumah itu dibeli melalui proses lelongan. Sebenarnya rumah itu sudah dilelong berkali-kali sehingga harganya jatuh sangat rendah dan akhirnya dibeli sekitar RM680,000, walaupun nilai sebenar rumah itu jauh lebih tinggi.

"Saya tak sangka rumah itu akhirnya ada pembeli kerana selama beberapa tahun ini tiada. Sebenarnya saya yakin  boleh bangkit dan bayar semula, tetapi masa tidak menyebelahi saya." katanya ketika dihubungi mStar.

Lebih mengecewakan dia tidak mempunyai kewangan yang mencukupi ketika ingin mendapatkan semula rumah berkenaan selain mengalami kesukaran untuk membayar dan berpindah ke kediaman baharu.

Jelasnya, selepas perniagaan hotel miliknya ditutup sepenuhnya dia tidak memiliki pendapatan tetap dan hanya berkerja sebagai jurujual kenderaan sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Gaya tudung ikut keselesaan, Zur Eda mohon doa kekal istiqamah berhijab penuh

ARTIKEL BERKAITAN: Erma Fatima tak tahu perselisihan Puteri Balqis dan Mia Sara, fokus hasil karya bukan gosip di lokasi penggambaran

Disebabkan keperitan hidup itu, dia juga terpaksa bergolok gadai barang kemas anak-anak dan isterinya selain kereta jenis Honda Civic untuk meneruskan hidup.

Kongsi Eddy lagi, ketika ini dia mengaku berdepan masalah untuk menyara lima orang cahaya mata termasuk anak bongsunya yang baharu berusia lima bulan. 

"Dulu saya mengusahakan hotel. Namun selepas arwah ibu meninggal dunia, emosi saya jatuh teruk dan fokus terhadap bisnes pun terjejas. Banyak urusan saya serahkan kepada staf tapi ada yang jujur, ada yang tidak. Berlaku masalah kewangan termasuk staf menyalahgunakan duit.

Tapi pembeli pun boleh datang bersama polis pada bila-bila masa.

EDDY

DRUMMER SUCCESS

"Sejak itu, saya hanya mampu berniaga kecil-kecilan. Pendapatan tidak mencukupi untuk menampung komitmen besar, termasuk bayaran rumah itu sekitar RM4,000 sebulan.

"Untuk meneruskan hidup sebelum ini pun saya sudah banyak gadai emas isteri dan anak-anak saya. Kereta yang saya bawa sekarang ini pun milik rakan sekolah, dia beri saya pinjam. Simpanan pun sudah habis saya gunakan," luahnya.

Rumah mewah yang ditinggalkan ibu Eddy kepadanya.

Berkongsi mengenai perancangannya ketika ini, Eddy memberitahu dia hanya ingin mencari penempatan yang selesa buat anak-anaknya memandangkan mereka masih bersekolah.

Tambahnya, dia bukan mahu meraih simpati namun kesukaran hidup membuatkan dia terpaksa merendahkan ego untuk terbuka meminta bantuan orang ramai.

Eddy bersama ahli kumpulan Success semasa usia mudanya.

"Saya tiada jalan lain, keputusan mahkamah pada Rabu minggu lepas menetapkan saya perlu keluar dari rumah itu bila-bila masa, tanpa tarikh khusus. 

"Tapi pembeli pun boleh datang bersama polis pada bila-bila masa. Saya cuba berunding dengan pemilik baharu secara peribadi, tetapi dia enggan berjumpa, jadi saya perlukan bantuan untuk proses pemindahan dan sewa rumah baharu," jelasnya.

Eddy mendirikan rumah tangga bersama Siti Nur Diana Abd Aziz, 38, pada 2009.

Hasil perkahwinan itu mereka miliki lima orang cahaya mata bersama iaitu Nur Edyliana Prisylia, 16, Nur Adriana Azwa Safrina, 14, Nur Adliana Maisarah Binti Roshamidi, 13, Nur Edryana Clarissa, 2, dan Noah Edryan, 5 bulan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain