IBU sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak meluahkan perasaan, mendapatkan sokongan dan perlindungan.
Namun berbeza pula situasi dilalui wanita ini yang sering menjadi mangsa sindiran ibu sendiri hanya disebabkan keputusannya memilih menjadi suri rumah.
Tidak mendedahkan identiti diri, wanita tersebut berkata perkara ini akan dibangkitkan oleh ibunya setiap kali mereka bersua atau sekadar berbual di telefon, sehingga membuatkan dirinya tertekan.

Tidak ramai wanita sanggup mengorbankan kerjaya untuk berbakti kepada keluarga. -Gambar hiasan
"Apa korang buat untuk pujuk hati bila kecil hati dengan mak? Dah umur 35 tahun pun masih menangis sebab kena marah dengan mak.
"Dah lama aku tak menangis sekuat hati macam ni, meraung, mengadu pada Allah. Ya Allah, aku penat sangat-sangat jadi people pleaser. Penat nak puaskan hati mak sejak kecil sampai sekarang.
"Mak sampai sekarang tak boleh terima aku jadi suri rumah. Setiap kali call, setiap kali jumpa, aku akan dapat sindiran pedas pasal sia-sia belajar tinggi-tinggi tapi tak kerja," tulisnya pada hantaran berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 30 tahun anak sabar dengan ibu bapa toksik! Cucu nazak tak ziarah, lepas meninggal jadi orang terpaling sedih
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu bapa sendiri toksik, hanya tahu minta duit... Wanita hidap MDD stres, mujur ada mentua tempat bergantung
Menurut wanita tersebut, dia mempunyai alasan sendiri memilih untuk menjadi suri rumah dan dalam masa yang sama berniaga kecil-kecilan meskipun berkelulusan doktor falsafah (PhD) dari universiti luar negara.
"Ingat aku tak terkilan ke yang end-up tak guna sijil belajar aku? Tapi kadang-kadang apa yang kita plan, tak berjalan seperti sangkaan kita.
"Aku pernah di posisi tak henti-henti mengejar deadline, tak tidur malam siapkan kerja, 24 jam kepala fikir pasal kerja. Hal pembelajaran perkembangan anak pun aku tak ada masa nak fikir.
Seorang wanita meluahkan rasa sedih apabila sering menjadi mangsa sindiran ibunya kerana memilih untuk menjadi suri rumah walaupun berkelulusan PhD.
Ibunya kerap menyindir keputusan tersebut setiap kali mereka berbual atau berjumpa, hingga menyebabkan tekanan emosi dan rasa kecil hati.
Wanita itu menjelaskan pilihannya dibuat atas sebab tertentu dan keutamaan terhadap keluarga, setelah melalui fasa pekerjaan yang sangat membebankan.
Luahannya mendapat sokongan ramai netizen, terutamanya wanita yang turut berdepan situasi sama.
Netizen menasihatkannya agar menjaga kesihatan mental dan mengutamakan kebahagiaan diri serta keluarga terlebih dahulu.
"Untuk kesekian kalinya, mak aku masih pandang hina pada pilihan aku. Selama ni macam-macam dugaan pasal kerja, burnt out, semua aku simpan sendiri tak nak dia risau. Tapi kalau asyik kena attack dari mak sendiri, siapa je kuat?" luahnya lagi.
Luahan wanita berkenaan menyentuh hati warga maya terutamanya golongan wanita yang turut berada dalam situasi sama, bergelut antara kerjaya, keluarga dan harapan orang sekeliling yang terlalu tinggi.
Mereka tampil memberikan kata-kata semangat dan sokongan kepada wanita tersebut, selain turut berkongsi pengalaman peribadi yang hampir serupa.

Sebahagian daripada reaksi netizen.
"Kurangkan call. Kurangkan visit mak. Letakkan sempadan.
"Ibu narsisistik tiada ubat. Abaikan dan kurangkan communication je.
"Jangan risau mak awak tak reda, perempuan lepas kahwin, reda suami mengatasi reda ibu. Biarlah ibu tak faham, janji awak jaga diri dan kesihatan mental," demikian antara komen netizen.


