suria

Adam kongsi tip turun berat badan, jaga stamina sebelum konsert solo... Bukan mudah menyanyi sambil menari

Adam mahu turunkan berat badan lagi.

PENYANYI Adam berjaya menurunkan berat badan sebanyak 11 kilogram sebagai persediaan menjelang konsert solo pertamanya yang dijadualkan berlangsung pada Januari 2026.

Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 42, bagaimanapun masih menyimpan hasrat untuk mengurangkan beberapa kilogram lagi demi memastikan stamina berada pada tahap terbaik ketika konsert nanti.

“Berat badan memainkan peranan penting untuk stamina persembahan. Alhamdulillah setakat ini saya sudah berjaya turunkan berat badan, tetapi saya berharap dapat turun lima hingga lapan kilogram lagi.

Adam konsisten turunkan berat badan.

“Sebelum ini berat saya sekitar 95 kilogram dan sekarang sudah mencecah 84 kilogram,” katanya kepada mStar.

Menurut Adam, selain menjaga pemakanan, dia juga memberi fokus kepada latihan fizikal yang dilihat lebih membantu mempercepatkan proses penurunan berat badan.

Jelasnya, rutin hariannya kini tertumpu kepada aktiviti memanjat tangga yang diibaratkan seperti mendaki gunung.

ARTIKEL BERKAITAN: Adam AF kini Pengiran Adam... kembali cari pasangan hidup selepas enam tahun menduda

ARTIKEL BERKAITAN: Adam akui hidupnya sunyi selepas menduda

“Setiap petang saya akan naik 11 atau 13 tingkat sebanyak tiga pusingan. Aktiviti ini memang membantu mempercepatkan penurunan berat badan.

“Kalau ada yang kata hiking lebih berkesan, saya pula pilih naik tangga sebab lebih dekat dengan rumah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Adam berkata kesedaran untuk menurunkan berat badan secara serius timbul selepas dia kembali aktif membuat persembahan yang memberi cabaran besar terhadap tahap tenaganya.

Adam amalkan panjat tangga untuk turunkan berat badan.

“Menyanyi sambil menari bukan perkara mudah kerana kita perlu bijak mengawal pernafasan ketika melontarkan vokal.

“Saya risau kalau cepat penat, lebih-lebih lagi pada usia sekarang. Jadi fokus saya adalah untuk menstabilkan stamina dari segi nyanyian dan tenaga,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain