suria

Adam akui hidupnya sunyi selepas menduda

Adam mengakui kehidupannya sunyi selepas bergelar duda.

PENYANYI Adam memberitahu dia masih solo dan belum mempunyai pengganti selepas bercerai dengan bekas ahli kumpulan Elite Fiza Halim tiga tahun lalu.

Adam, bekas peserta Akademi Fantasia musim kedua (AF2) berkata, hatinya masih belum terbuka untuk menerima mana-mana wanita sebagai teman hidup untuk kali kedua.

“Saya sudah lama move on, cuma sudah tentu hidup sendiri membuatkan kita berasa sunyi. Dulu abang saya ada duduk dengan saya tapi dia dah balik Sabah.

“Setakat ini belum ada lagi wanita yang istimewa, kawan lepak ramai lelaki. Bukan saya tidak mahu, saya pun nak ada zuriat sendiri,” ujarnya kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Instagram Antara Punca Adam (AF2) & Fiza Bercerai

Adam ditemui pada majlis sidang media konsert reunion yang diadakan di restoran Dapur Sarawak, pada Rabu.

Adam (empat dari kiri) bersama teman-teman dalam AF2.

Adam berkahwin dengan Fiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim, 37, pada September 2013 tetapi tidak dikurniakan cahaya mata.

Pasangan ini berceraiada 28 April 2014, namun rujuk pada tahun yang sama.

Pada 28 Disember 2015 pasangan ini bercerai kali kedua di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam.

Dalam pada itu, Adam berkata, tindakannya berdiam diri selepas perpisahan tersebut adalah memberi ruang dan tempoh bertenang untuk dirinya menerima keadaan itu.

Katanya, dia juga mengelak daripada memberi kenyataan yang terlalu mengikut emosi dan marah.

“Saya berdiam seketika selepas berpisah kerana mahu beri tempoh bertenang. Saya tak mahu berbalas-balas kenyataan yang tidak akan habis.

“Saya dengan bekas isteri masih berkawan dan saya hormati dia dan keluarga baharunya,” ujar Adam.

Fiza Halim kini bahagia dengan kehidupan baharu. Foto Instagram Fiza Halim.

Dalam perkembanban lain, Adam berkata dia kini sibuk mengusahakan rawatan dan pelbagai produk untuk rawatan alternatif sebagai punca pendapatan utamanya.

Katanya, dia menjadikan bidang seni suara sekadar hobi dan melepaskan kerinduan terhadap nyanyian semata-mata.

Selain itu, bercakap tentang konsert Reunion Akademi Fantasia 2, Adam dan 12 peserta program realiti itu merancang untuk mengadakan sebuah konsert pada Ogos depan.

Konsert yang bertujuan menggamit memori lama itu masih dalam proses mencari penaja yang sudi bekerjasama dalam menjaya konsert berkenaan.

“12 peserta sudah memberi persetujuan dan kami merancang untuk adakan pada skala yang sederhana sahaja.

“Sekarang ini masih proses mencari penaja yang dapat menjayakan konsert itu,” ujarnya.

Antara barisan penyanyi AF2 ialah Zahid, Bob, Fitri, Linda Nanuwil, Zarina Zainoordin, Kaer Azmi, Farah, Anding dan Mas.

Adam AF2, Fiza Halim

Artikel Lain