Saya dah ‘move on’ - Ernie Zakri berjanji tidak akan nyanyikan ‘Misteri’

Ernie Zakri memberitahu dia tidak mahu menyanyikan lagu Misteri sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun.

PENYANYI Ernie Zakri tetap dengan pendiriannya untuk tidak lagi menyanyikan lagunya sendiri berjudul Misteri dalam mana-mana persembahan pentas selepas ini.

Ernie, 26, berkata, keputusan itu dibuat kerana dia ingin meneruskan kehidupannya tanpa kontroversi menyelubungi lagu itu sebelum ini.

“Saya berani berjanji untuk tempoh setahun ini saya tidak akan menyanyikan lagu itu.

“Bukannya saya tidak suka lagu itu malah ia antara lagu yang saya sayang namun itu adalah perkara perlu saya lakukan demi kebaikan diri saya sendiri.

“Bukan ada unsur dendam ke apa... Apabila saya beritahu ingin ‘move on’ saya kena betul-betul pandang ke hadapan dan tidak menoleh ke belakang lagi,” katanya.

Ernie tidak mahu lagi menoleh ke belakang.

ARTIKEL BERKAITAN: Suntik bibir? Ernie Zakri jelaskan ia teknik solekan

Ernie ditemui pada sidang media persembahan Minggu Setiausaha An Afternoon of Elegance with Syamel & Ernie Zakrie - When Hearts Needs A Beat yang diadakan pada Rabu.

Persembahan bagi meraikan minggu setiausaha itu akan diadakan Hotel Marriot Putrajaya pada 24 April depan.

Ernie sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan mahu melupakan kontroversi yang melanda lagu itu apabila ia gagal mara ke peringkat separuh akhir program Muzik-Muzik pada akhir tahun lalu selain timbul dakwaan penyanyi itu berhadapan masalah bersama syarikat rakaman lamanya, FMC Music.

Misteri ciptaan Gouffran dan Sang Hitam itu adalah single terakhirnya bersama syarikat rakaman itu sebelum menyertai Rocketfuel Entertainment.

Dalam pada itu, Ernie berkata, dia juga tidak akan tunduk kepada mana-mana penganjur pertunjukan pentas sekiranya mereka mahukan di menyanyikan lagu itu dalam persembahannya.

Pasangan ini bakal bergandingan menerusi Minggu Setiausaha pada April depan.

“Ada banyak lagi lagu lain yang boleh saya nyanyi dan kalau ada pihak mahu saya menyampaikan lagu itu saya akan tolak dengan cara baik.

“Tapi rasanya tidak akan ada masalah kerana kebiasaannya penganjur tidak pernah menetapkan sebarang tetapan terhadap lagu yang saya kena nyanyikan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ernie berkata, dia teruja dapat menjayakan persembahan Minggu Setiausaha bersama Syamel kerana menganggap ia adalah sebuah acara yang berprestij dan sering ditunggu-tunggu setiap tahun.

Pada acara itu nanti, mereka berdua akan menyampaikan 12 buah lagu bagi menghiburkan penonton.

Tiket untuk menyaksikan persembahan Minggu Setiausaha dua penyanyi itu dijual pada harga RM3,500, RM7,000 dan RM10,000 untuk sebuah meja yang boleh memuatkan 10 orang tetamu lengkap dengan set hidangan makan tengah hari serta cenderamata istimewa.

Ernie Zakri, Syamel

Artikel Berkaitan

Artikel Lain