PENGARAH dan penerbit, Erma Fatima menegaskan tidak bercadang untuk mengambil pelakon baharu bagi membintangi filem arahannya sendiri yang bakal memulakan penggambaran.
Menurut Erma atau Fatimah Rahmad Ali, 57, selepas berehat lama daripada dunia pengarahan, dia ingin memastikan pelakon yang terlibat mempunyai pengalaman dan bersedia sepenuhnya sebelum memasuki set penggambaran.
“Saya sudah lama berehat daripada mengarah filem jadi bila saya nak buat ‘comeback’, saya harus memastikan saya dapat pelakon yang hebat supaya pelakon-pelakon ini bersedia untuk masuk set dan mereka tahu apa yang mereka lakukan.

Erma bimbang waktu tidak mencukupi untuk melatih pelakon baharu.
“Waktu pula tidak mencukupi untuk saya latih pelakon. Tapi kalau saya ada pelakon baru, bukan nak kata mereka tak bagus, tetapi saya perlukan masa untuk training. Jadi kalau dia gagal, dia akan merosakkan impian saya.
“Filem ini adalah sesuatu yang sangat besar untuk saya. Isunya berat dan besar yang bersangkut paut dengan Islam,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Erma berkata setakat ini proses pemilihan sudah selesai namun dia masih enggan mendedahkan senarai penuh barisan pelakon utama.
ARTIKEL BERKAITAN: Erma Fatima tulis skrip 2 filem tentang ajaran sesat, terbang ke Indonesia buat kajian
ARTIKEL BERKAITAN: Erma Fatima muak dengan kecaman netizen, tak tahu latar belakang pelakon transgender... “Saya bukan pengikut video seks”
Bagaimanapun, pengarah filem Embun ini mengesahkan beberapa pelakon pembantu yang akan memegang watak penting dalam filem tersebut.
“Sekarang masih dalam peringkat awal, baru lepas proses pemilihan pelakon. Tak mahulah sebutkan pelakonnya sekarang tapi yang akan menjadi pelakon pembantu adalah Eman Manan, Datin Seri Umie Aida, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan Vanida Imran.
“Ini adalah pelakon yang akan menjayakan watak ayah dan ibu kepada hero dan heroin,” ujarnya.

Erma memenangi kategori Drama Paling Viral pada Anugerah OhBulan! Paling Viral Online baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai naskhah terbaharunya itu, Erma berkongsi filem tersebut akan mematuhi syariah sepenuhnya.
“Saya dah lama tak mengarah filem. Saya dah lama dah saya ‘break’. Saya membawa hati, merajuk kononnya tak tahu apa yang dirajuk. Tapi sekarang sedang membuat persiapan untuk menghasilkan filem.
“Insya-Allah tahun depan mula penggambaran. Filem yang saya akan buat ini adalah filem islamik yang patuh syariah... betul-betul patuh syariah,” tegasnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


