KUMPULAN rock Bunkface dan Nidji meluahkan rasa teruja serta terharu dengan sambutan luar biasa peminat yang membanjiri konsert mereka yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada malam Ahad.
Konsert yang menggabungkan dua kumpulan dari Malaysia dan Indonesia itu jelas membuktikan keutuhan sokongan peminat terhadap karya mereka selama lebih dua dekad mewarnai industri muzik.
Vokalis Bunkface, Sam atau Shamsul Annuar Mohd Bahrom, 37, menyatakan rasa bangga apabila melihat peminat masih setia menyanyikan lagu-lagu mereka.

Peminat Bunkface (dua dari kanan) naik ke pentas menyanyi bersama Sam (kanan).
“Kami bangga walaupun sudah menyanyi selama 20 tahun, orang masih menyanyi bersama kami.
“20 tahun menyanyi, ya kami agak ‘barai’ (tidak larat) juga,” katanya berseloroh.
Sementara itu, vokalis kumpulan Nidji, Ubay atau Muhammad Yusuf Nur Ubay, 29, menyifatkan sambutan hangat yang diterima daripada peminat menjadi antara faktor utama mereka kerap membuat persembahan di Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN: Hormat peraturan Malaysia, Ubay Nidji tak buka baju atas pentas… “Di Indonesia pun sebab cuaca panas”
ARTIKEL BERKAITAN: Dua band hebat bergabung, Nidji x Bunkface janji persembahan terbaik
Menurutnya, sokongan yang tidak pernah pudar memberi semangat besar buat Nidji untuk terus berkarya.
“Terima kasih kepada semua peminat yang sentiasa menyokong kami. Tahun depan merupakan tahun ke-24 Nidji dalam industri.
“Anda (peminat) adalah sebab kami sering ulang-alik membuat persembahan di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Ribuan peminat membanjiri Konsert Nidji X Bunkface.
Konsert dimulakan dengan persembahan bertenaga daripada Bunkface sekitar jam 8.35 malam apabila mereka membuka tirai dengan rangkaian 13 buah lagu popular.
Antara lagu yang dipersembahkan termasuk Malam Ini Kita Punya, Rentak Lagumu, Extravaganza, Panik, Situasi dan Revolusi.
Suasana bertambah meriah apabila Sam turut memanggil beberapa peminat naik ke pentas untuk menyanyi bersama, sekali gus mencetuskan momen interaksi yang dekat dan menghiburkan.

Nidji menghiburkan peminat dengan 15 buah lagu.
Sekitar jam 10 malam, Nidji mengambil alih pentas dan terus menghangatkan Zepp Kuala Lumpur dengan 15 buah lagu hit mereka.
Ubay bersama anggota kumpulan lain berjaya menghidupkan suasana dengan interaksi mesra serta sesi nyanyian bersama peminat.
Antara lagu yang mendapat sorakan paling kuat termasuk Laskar Pelangi, Manusia Sempurna, Zayang Zayang, Teman Sejati, Biarlah serta Hapus Aku, menjadikan konsert tersebut satu malam penuh nostalgia dan emosi buat peminat kedua-dua kumpulan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


