NAIB juara program realiti One In A Million (OIAM), Kai Deva tidak pernah melupakan asal usulnya sebagai penyanyi jalanan atau busker meskipun ada peminat yang menasihatkan supaya meninggalkan nyanyian sebegitu.
Kai atau Firdaus Deva, 25, berkata dia menganggap dunia busking sebagai titik permulaan yang membentuk dirinya sebagai seorang penyanyi.
"Mula-mula ramai juga yang cakap saya tak payahlah nak busking lagi. Saya berada dalam satu level (penyanyi) jadi mereka tidak mahu saya downgrade diri.

Kai tidak malu untuk menyanyi busking.
"Tapi dunia busking ini adalah asal usul saya, tanpa saya busking saya tidak akan sampai ke tahap ini.
"Saya tidak pernah pergi kelas vokal, saya tidak pernah sertau menyanyi di mana-mana studio. Daripada busking saya terus beranikan diri masuk uji bakat OIAM. Saya tak mahu lupa diri," katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Kai memberitahu keputusannya menyanyi secara busking bukanlah mahu menjatuhkan reputasi sebagai artis, sebaliknya satu usaha untuk terus memperkenalkan diri dalam industri yang kompetitif.
ARTIKEL BERKAITAN: Menyanyi ‘busking’ di Bukit Bintang, Zahid buang ego pernah bergelar juara AF2… Hargai pengalaman dapat RM30
ARTIKEL BERKAITAN: Pasya impi lagu hits bantu lonjak nama, mahu tinggalkan dunia busking
Katanya, pengalaman membuat persembahan di konsert penyanyi Indonesia, Judika, membuka matanya apabila masih ramai penonton tidak mengenali dirinya.
"Ramai juga orang persoalkan kenapa saya mahu kembali semula menyanyi busking. Saya masih lagi 'merangkak' (awal) dalam industri.
"Buat masa sekarang mungkin ramai yang belum mengenali saya. Terutamanya masa saya menjadi penyanyi jemputan di konsert Judika pun orang tak tahu saya siapa.
"Daripada situ saya fikir mungkin ada kalanya saya boleh turun busking untuk promosikan lagu-lagu nyanyian saya. Saya tak pergi selalu juga nanti orang bosan," ujarnya.
Kai bagaimanapun menjelaskan aktiviti busking yang dilakukan ini hanyalah secara berkala, selain sebagai cara untuk melepaskan kerinduan menyanyi di jalanan.

Kai merupakan naib juara OIAM.
"Saya sekarang jarang sangat busking, dalam sebulan ada dalam sekali saja. Itu pun saya datang sebab dah tak ada penyanyi nak busking.
"Ramai juga yang kata rindu nak dengar saya menyanyi busking. Maksudnya masih ada orang mencari saya. Daripada situ saya fikir mungkin bolehlah buat persembahan sebab orang dah tercari-cari," katanya.
Untuk info, sebelum menyertai OIAM, Kai adalah vokalis kumpulan Genji Buskers yang sering membuat persembahan busking di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


