SEJAK mengambil alih sepenuhnya pengurusan TheNoor pada Ogos tahun lalu, usahawan dan selebriti terkenal, Neelofa mengaku berdepan beberapa isu dalaman yang memerlukan penelitian dan penstrukturan semula segera.
Neelofa berkata, sebaik mengambil alih operasi syarikat teknologi gaya hidup Muslim itu, dia mendapati terdapat perkara berkaitan tadbir urus serta dokumentasi yang tidak diselesaikan oleh pengurusan terdahulu.
Situasi berkenaan mendorongnya melaksanakan semakan forensik menyeluruh termasuk audit kewangan terperinci susulan isu ketidakpatuhan yang dibangkitkan oleh auditor syarikat bagi tahun kewangan 2023.

Neelofa kini mengambil alih sepenuhnya pengurusan TheNoor.
Justeru, langkah penstrukturan semula organisasi dalaman dilaksanakan bagi memastikan syarikat kembali beroperasi di atas landasan yang lebih kukuh, telus dan berdaya saing.
Dalam masa sama, Neelofa kini secara rasmi mengesahkan kedudukannya sebagai pemegang saham majoriti dalam syarikat TheNoor sekali gus membuka lembaran baharu buat platform berkenaan.
“Saya yakin TheNoor mempunyai potensi yang amat besar untuk berkembang jauh ke hadapan.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Neelofa, PU Riz jawab isu kenakan bayaran tinggi untuk kelas agama… “Kami buat di hotel lima bintang, makan pun sedap”
ARTIKEL BERKAITAN: Neelofa, PU Riz dikecam kenakan bayaran tinggi untuk kelas agama... “RM850 seorang, ilmu apalah yang diajar”
“Fokus kami kini adalah membina semula asas yang kukuh, meningkatkan ketelusan dan memperkenalkan inovasi yang benar-benar memberi manfaat kepada komuniti Muslim di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ditubuhkan pada tahun 2020, TheNoor mencatat pencapaian memberangsangkan dengan lebih 4.33 juta muat turun dan 650,000 pengguna aktif harian, merangkumi hampir 200 negara termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Arab Saudi, Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Neelofa turut menjelaskan dia tidak terbabit dalam operasi harian syarikat sejak penubuhannya sehingga 2024, sebaliknya hanya mula mengambil alih sepenuhnya pengurusan bermula Ogos tahun lalu tanpa penglibatan pengurusan terdahulu.
Sejak itu, beberapa langkah strategik telah dilaksanakan termasuk pelantikan barisan pengurusan kanan baharu, kerjasama dengan syarikat pembangunan perisian bertaraf global, pembentukan jawatan strategik serta pembangunan semula aplikasi yang bakal memperkenalkan TheNoor Pro, dijangka dilancarkan sebelum hujung tahun ini.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


