MEMANG perit apabila hati dilukai oleh insan yang paling disayangi dan dipercayai.
Dalam satu perkongsian yang tular di media sosial, seorang wanita melepaskan rasa sedih melalui cara yang tidak dijangka, iaitu membeli aiskrim jenama terkenal, sesuatu yang selama ini tidak pernah dinikmatinya demi berjimat.
Wanita tersebut yang membuat pesanan menerusi aplikasi penghantaran makanan, menulis nota luahan yang cukup meruntun hati netizen.

Nota yang dikongsikan individu berkenaan dalam hantarannya.
"Saya tak pernah order ni. Saya selalu jimat dan sayang untuk beli aiskrim mahal.
"Tapi saya order sebab sakit hati suami belikan aiskrim ******* untuk kawan perempuan dia. Benci! Dah la akhir bulan aku berlapar tengah menyusu baby.
"Aku fikir dia tak ada duit, rupanya dia ada duit, sanggup belikan aiskrim mahal untuk perempuan lain yang tak pernah pun aku terfikir untuk makannya. Sedih aku, sakit hati," demikian nota yang tertera pada resit pesanan, sebagaimana yang dimuat naik dalam perkongsian berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Suami pandang rendah lepas isteri berhenti bekerja... Asyik mengungkit, berkira sebab dah tak bantu sara famili
ARTIKEL BERKAITAN: Suri rumah sering makan hati dapat suami kedekut, nafkah tak bagi... Kalau diberi RM10 sebulan pun dah bersyukur
Perkongsian tersebut dipercayai dibuat oleh pekerja di premis aiskrim yang dipesan wanita berkenaan.
"Hari demi hari dunia makin rosak. Semoga akak stay strong untuk baby akak," tulis individu tersebut di ruangan kapsyen.
Seorang wanita meluahkan kesedihan selepas mengetahui suaminya membelikan aiskrim mahal untuk kawan perempuan, sedangkan dia sendiri tidak pernah merasa aiskrim tersebut demi berjimat.
Dia membuat pesanan aiskrim melalui aplikasi dan menulis nota luahan hati yang dimuat naik oleh pekerja premis terbabit, sekali gus menyentuh hati netizen.
Wanita itu kecewa kerana menyangka suaminya tiada duit, namun rupanya berbelanja untuk orang lain ketika isteri sendiri berlapar.
Dia memesan empat aiskrim bernilai sekitar RM58, sebagai cara meluahkan rasa marah dan kecewa terhadap suaminya.
Perkongsian itu tular dan mendapat pelbagai reaksi simpati serta sokongan netizen, yang mengecam perbuatan suaminya dan mendoakan kekuatan untuk wanita tersebut.
Berdasarkan resit tersebut, wanita berkenaan dilihat memesan empat aiskrim berbeza perasa yang keseluruhannya berharga sekitar RM58.00.
Sehingga kini, perkongsian tersebut meraih ratusan komen selain dikongsikan semula (repost) oleh warga maya, yang rata-ratanya menitipkan kata-kata semangat buat wanita berkenaan.

Isteri banyak berkorban demi keluarga tanpa mengharapkan balasan. -Gambar hiasan
"Semoga orang-orang yang curang selalu disempitkan rezeki, tak bahagia sampai mamp**.
"Allahuakbar! Mari peluk supaya awak kuat semangat demi anak-anak. Harap yang curang ditimpa balik balasan.
"Bar*a punya jantan, bini dekat rumah tak belikan. Tapi betina lain sibuk belikan," demikian antara komen netizen.


