SEORANG wanita berkongsi pengalaman mencemaskan yang menimpa adiknya ketika bercuti di Batam, Indonesia.
Mahu kisah itu dijadikan iktibar agar pelancong lain lebih berwaspada, dia berkata insiden berlaku pada waktu malam ketika adiknya keluar seorang diri dari hotel untuk membeli air.
"Kawan-kawan dia yang lain di hotel. Tiba-tiba dia kena tarik dengan tiga orang lelaki kemudian diacukan pisau dan diugut untuk serah semua duit tunai yang ada.
"Allahu, seramnya. Semoga yang buat khianat ni hidupnya tak akan tenang dan ditimpa malapetaka. Kepada semua yang nak pergi sana, hati-hati jangan keluar malam seorang diri ya," jelasnya.
Difahamkan mangsa yang menginap di kawasan Nagoya Hill mengalami kerugian hampir RM7,000 selepas diugut menyerahkan semua wang tunai selain diminta melakukan transaksi secara dalam talian.
Perkongsian di Thread itu ternyata mengundang kebimbangan dalam kalangan netizen yang merancang untuk bercuti ke Batam.
Bagaimanapun ramai yang berkongsi tip termasuk menasihati agar memilih hotel yang menjadi lokasi tumpuan pelancong.
Selain itu penggunaan khidmat pemandu peribadi juga merupakan langkah selamat untuk bercuti ke Batam.


