suria

Pelancong Malaysia kongsi detik cemas berdepan imigresen Georgia... Geleng kepala hadap pegawai perempuan

Setiap pengembara perlu melakukan persiapan lengkap sebelum bercuti ke luar negara. -Gambar hiasan AI

KISAH berdepan pegawai imigresen di luar negara sering menjadi detik mencemaskan buat kebanyakan pelancong, apatah lagi apabila melibatkan destinasi yang jarang dikunjungi rakyat Malaysia.

Itulah pengalaman yang dikongsikan seorang pelancong Malaysia ketika berkunjung ke Georgia pada November lalu.

Menurut ceritanya, dia berdepan situasi tegang sebaik sahaja mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tbilisi sekitar pukul 3.15 pagi waktu tempatan.

Kata individu berkenaan, sebelum berlepas dari Kuala Lumpur dia sudah mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyiapkan segala dokumen perjalanan termasuk cetakan itinerari serta tiket pulang termasuk tempahan kereta sewa.

Dia membuat segala persiapan awal ini memandangkan terdapat perkongsian rakan yang pernah mendakwa pelancong boleh dinafikan kemasukan sekiranya tidak membawa wang tunai mencukupi.

"Apabila dapat pegawai imigresen perempuan memang saya sudah geleng kepala sekejap.

"Entahlah, bukan apa... kebanyakan pengalaman (masalah) di border mesti melibatkan pegawai perempuan terutama di London dan Arab Saudi. Cukuplah saya ada pengalaman di London dulu.

"Masuk lokap imigresen 12 jam. Hanya kerana syak wasangka daripada pegawai imigresen perempuan yang berperangai seperti 'Karen'," ceritanya.

Semak segala dokumen bagi mengelakkan sebarang masalah ketika bercuti. -Gambar hiasan AI

Berbalik kepada situasi di Georgia, individu tersebut berkata detik cemas bermula apabila pegawai imigresen bertanya tentang visa, sedangkan pemegang pasport Malaysia tidak memerlukan dokumen itu untuk memasuki negara berkenaan bagi tempoh lawatan singkat.

Bagi meyakinkan pihak imigresen, dia itu kemudiannya menunjukkan carian maklumat tentang kuasa pasport Malaysia yang membuktikan kemudahan bebas visa ke Georgia.

"Saya siap buat carian Google Image untuk tunjuk kuasa pasport Malaysia berbanding Georgia.

"Saya tunjuk pada pegawai tu dan dia panggil kawan (pegawai senior) yang beruban. Oh Malaysia... jawab senior dia yang tadi. Baru dia tahu. Berkepak la saya berjalan melepasi gerbang imigresen tu," katanya lagi.

Justeru dia mengingatkan rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara agar sentiasa menjaga disiplin dan mematuhi undang-undang tempatan demi menjaga imej negara.

Perkongsian itu turut menzahirkan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia serta menekankan kepentingan sikap bertanggungjawab ketika berada di negara orang.

Artikel Lain