KEMATIAN di perantauan bukan sekadar kehilangan menyayat hati, tetapi turut membuka satu realiti pahit yang jarang dibicarakan khususnya urusan pengurusan jenazah yang memerlukan masa, tenaga serta kos tinggi.
Itulah pengalaman yang dikongsikan seorang wanita apabila sepupunya meninggal dunia ketika bercuti berdua ke Da Nang, Vietnam bersama anak perempuannya.
Pemergian secara mengejut itu menyebabkan anaknya serta ahli keluarga di Malaysia panik, lebih-lebih lagi apabila trip itu dilakukan secara DIY (do it yourself) tanpa bantuan ejen pelancongan.
"Kes sepupu saya ni sangat memberikan kesan bila mana berlaku macam ni.
"Kat mana-mana pun Allah akan jemput jika dah sampai waktunya, cuma bersedia atau sebaliknya.
"Kami hanya mampu berdoa ada jalan terbaik yang Allah dah susun," katanya.
Menurut kemas kini anak arwah pada Ahad, jenazah telah dibawa ke Dong Nai yang mengambil masa hampir dua jam perjalanan untuk dikebumikan.
Keputusan itu dibuat secara sepakat oleh keluarga selepas mengambil kira faktor masa, kos serta bantuan yang tersedia di lokasi kejadian.
Dalam usaha meringankan beban, ahli keluarga dan kenalan terdekat masing-masing menghuurkan dana bagi menampung kos pengurusan jenazah di sana.
Malah, wanita berkenaan turut menghebahkan kutipan kilat di media sosial yang mana sumbangan kecil daripada orang ramai dapat membantu keluarga arwah yang sedang diuji.
Tambahnya lagi, keadaan menjadi sangat mencabar kerana anak perempuan arwah berada bersendirian di negara orang, tidak arif tentang prosedur tempatan dan terpaksa menunggu kehadiran ahli keluarga lain dari Malaysia.

Pengurusan jenazah di luar negara agak rumit dan memerlukan kos tinggi. -Gambar hiasan
Kos pengurusan jenazah yang dikongsikan menunjukkan jumlah perbelanjaan tinggi, terutama apabila lokasi kematian bukan di kawasan komuniti Islam dan memerlukan perjalanan menggunakan ambulans.
Antara perincian kos yang dikongsikan adalah seperti berikut:
1. Ejen pengurusan pengebumian: RM16,361
2. Bilik mayat (dua hari): RM244
3. Urusan mandi, kafan dan tanah perkuburan: RM4,683
4. Salam kaut (wang saguhati) solat jenazah untuk 50 orang: RM390
Jumlah keseluruhan: RM21,679
Wanita itu bagaimanapun tidak mendedahkan punca kematian sepupunya dalam hantaran berkenaan.
Seorang individu lain yang pernah melalui situasi hampir sama turut berkongsi pengalaman serta prosedur yang boleh dilakukan.
Menurutnya, langkah pertama yang perlu dibuat ialah menghubungi kedutaan Malaysia dan Wisma Putra untuk mendapatkan panduan rasmi.
"Jika ingin membawa pulang jenazah ke tanah air, semua kos perlu ditanggung keluarga terlebih dahulu. Sekiranya ada insurans, tuntutan boleh dibuat kemudian.
"Dalam kes ayah saya yang meninggal di Perth, kos membawa pulang jenazah ke Malaysia hampir mencecah RM80,000," katanya.
Kesimpulannya pengebumian di luar negara atau dibawa pulang, kedua-duanya tetap melibatkan kos yang besar serta prosedur perubatan seperti pemeriksaan doktor atau bedah siasat, bergantung kepada kes.


