suria

Wanita menggigil nampak penumpang 'tenang' curi laptop suami atas pesawat, dapat idea tulis nota kepada kru kabin

Kecurian boleh berlaku di mana-mana sahaja termasuk ketika berada di atas pesawat. -Gambar hiasan AI

BAGI individu atau 'kaki travel' yang sering menaiki penerbangan, perkongsian seorang penumpang sebuah pesawat menuju ke Hong Kong harus dijadikan pengajaran. 

Individu yang sudah tiga kali bercuti ke negara tersebut menasihatkan penumpang supaya meletakkan barang berharga di bawah kerusi berbanding di bahagian compartment (ruang) atas pesawat.

"Saya sudah tiga kali ke Hong Kong. Tapi pada trip kedua, benda yang sama terjadi pada saya dan suami. Naik AirAsia, duduk selang satu baris (dengan suami). 

"Allah Maha Besar... sebab saya dan suami tak duduk sebelah, masa tu heavy turbulence dan saya baru bangun tidur (terjaga)," katanya.

Dia terkejut apabila mendakwa ternampak sendiri seorang lelaki cuba mencuri beg suaminya yang mengandungi komputer riba jenama Apple.

Kata wanita itu, reaksi awalnya hanya terkedu dan menggigil kerana baru terjaga dari tidur.

"Allah gerakkan saya untuk perhati lelaki itu. Sekali dia dengan yakin ambil beg suami dan bawa ke tempat duduk dia. Keyakinan dia macam… h*r*m. Mata saya tak lepas pandang dia sampai dia duduk.

"Kemudian dia perasan saya pandang dia dan saya cakap that is my bag (itu beg milik saya). Tanpa segan silu dia letak balik beg dan buat-buat keluarkan tisu. Langsung tak minta maaf," katanya.

Pastikan barang berharga yang dibawa berada di tempat selamat. -Gambar hiasan AI

Selepas kejadian itu, dia tergerak hati untuk memeriksa sama ada terdapat barangan yang hilang. 

Bagaimanapun, dia tidak dapat mengeluarkan beg tersebut disebabkan tempat duduknya di bahagian tepi tingkap.

Bagi mengelakkan pelaku menyedari tindakannya, dia menulis nota ringkas menerusi aplikasi Notes di telefon sebelum menyerahkannya kepada pramugari untuk tindakan lanjut.

Menurut wanita itu, kru kabin kemudian membantu mengambil beg berkenaan dan membuat pemeriksaan. 

"Pramugari menawarkan diri untuk mengambil beg saya dan memeriksa sama ada terdapat barangan yang hilang. 

"Alhamdulillah, dia tidak sempat mengambil apa-apa, namun saya tidak pasti keadaan penumpang lain.

"Allah tolong sangat sepanjang trip tu yang mana memang mindblown kalau fikir balik. Biasa tengok pengalaman orang je, tapi kali ini kena pada diri sendiri," ujarnya.

Namun perasaan geram masih dirasai apabila pelaku dilihat keluar dari pesawat dengan wajah selamba seolah-olah tiada apa yang berlaku. 

Artikel Lain