suria

Nak beli mainan atau kumpul duit bawa anak bercuti? Enam fakta ini pasti akan buka mata ibu bapa

Bercuti bersama keluarga memberi banyak faedah kepada si kecil. -Gambar hiasan AI

RAMAI ibu bapa sanggup memperuntukkan bajet khusus untuk membawa anak-anak bercuti walaupun dalam suasana kos sara hidup semakin meningkat.

Bagi sesetengah orang, ia mungkin dilihat sebagai pembaziran namun pengalaman perjalanan sebenarnya mempunyai nilai yang jauh lebih besar daripada hadiah berbentuk material.

Perkara itu dikongsikan Ohana Baby Shop yang menjelaskan daripada sudut perkembangan emosi dan psikologi kepada kanak-kanak.

1. Mainan boleh hilang daripada ingatan, tetapi pengalaman kekal dalam memori

Apabila meningkat dewasa, kebanyakan kita jarang mengingati jenis permainan atau hadiah yang pernah diterima semasa kecil.

Namun suasana tidur dalam khemah, berjalan di tepi pantai, menempuh perjalanan jauh dengan kereta bersama keluarga merupakan kenangan kekal jelas dalam ingatan. 

Kenangan inilah yang secara tidak langsung membentuk emosi, keyakinan dan keperibadian seseorang anak.

2. Percutian menunjukkan sisi lain atau diri sebenar ibu bapa di mata anak

Dalam rutin harian, ibu bapa sering muncul sebagai individu yang tegas dan berdisiplin. 

Namun ketika bercuti, anak dapat melihat sisi ibu bapa yang lebih santai dengan gelak tawa, cemas apabila tersesat, gayat di tempat tinggi dan sama-sama mencari jalan keluar. 

Hubungan yang terjalin dalam suasana ini lebih tulen berbanding yang terbentuk hanya dalam rutin harian di rumah.

Bercuti bersama keluarga dapat mempengaruhi emosi dan psikologi kanak-kanak. -Gambar hiasan

3. Pendedahan kepada dunia luar membina keyakinan dan mengurangkan keresahan atau cemas

Anak-anak yang biasa melihat tempat baharu lebih cepat menyesuaikan diri dengan perubahan.

Mereka belajar berdepan dengan jadual yang berbeza, budaya asing serta persekitaran tidak biasa. 

Semua ini melatih pemikiran yang lebih fleksibel, menjadikan mereka tidak mudah takut dengan cabaran dan tekanan hidup.

4. Perjalanan mencipta 'cerita keluarga' yang mengikat hubungan

Kajian psikologi keluarga menunjukkan bahawa ikatan emosi banyak terbina melalui perkongsian cerita. 

Apabila anak dewasa kelak, bukan gred A atau keputusan peperiksaan yang menjadi topik kenangan, tetapi detik-detik seperti memori tersalah jalan tapi terjumpa tempat cantik. 

Keluarga yang kaya dengan kisah bersama lazimnya lebih rapat dan kukuh hubungan emosinya.

5. Bercuti membentuk semangat berpasukan dalam keluarga.

Dalam perjalanan, setiap cabaran diselesaikan bersama seperti keadaan apabila tersilap jalan, tertinggal barang atau perubahan perancangan.

Semua bergerak sebagai satu pasukan tanpa menyalahkan sesiapa.

Sikap bekerjasama inilah yang akhirnya menjadi asas kekuatan keluarga apabila berdepan ujian yang lebih besar pada masa hadapan.

6. Anak yang 'mengenal dunia' tidak takut bermimpi besar

Apabila dunia tidak lagi kelihatan menakutkan, anak menjadi lebih berani mencuba dan berfikir di luar batasan. 

Perjalanan seolah-olah 'membisikkan' kepada mereka bahawa dunia ini luas dan penuh peluang, serta fikiran sendiri tidak seharusnya menjadi had kepada potensi yang ada.

Artikel Lain