KECOH di media sosial apabila seorang wanita mendakwa dirinya ditahan berjam-jam oleh pihak imigresen Korea Selatan sebelum dihantar pulang tanpa sebarang penjelasan.
Menurut individu berkenaan, sebelum berlepas ke Korea Selatan, mereka sudah membuat persediaan lengkap dengan menyediakan semua dokumen yang diperlukan termasuk jadual perjalanan penuh, tempahan penginapan Airbnb, senarai perbelanjaan makanan, tiket penerbangan pergi dan balik, wang tunai, penyata bank, kad kredit serta bukti kewangan mencukupi.
Menjawab dakwaan segelintir pihak yang mengatakan mereka tidak mempunyai Korea Electronic Travel Authorization (K-ETA), wanita itu menegaskan bahawa dokumen tersebut juga telah diluluskan lebih awal dan disemak berkali-kali sebelum penerbangan.
Malah, tarikh perjalanan, tempoh penginapan serta semua tempahan adalah sepadan, namun menurutnya, pihak imigresen langsung tidak memeriksa K-ETA atau kad ketibaan mereka.
Susulan perkongsian kisahnya tular, ramai netizen tampil berkongsi pengalaman sama, mendakwa mereka turut berdepan situasi serupa ketika bercuti ke Korea Selatan.
Seorang wanita, Chiizukeki tampil berkongsi satu tip berdasarkan pengalaman peribadinya yang dirasakan dapat membantu pelancong apabila ditahan dan 'disiasat' imigresen.
Katanya, bagi individu yang bekerja dan ingin melancong ke Korea Selatan tanpa kebimbangan, mereka disarankan untuk mendapatkan surat rasmi daripada pihak majikan.
"Pergi jumpa HR (sumber manusia) dan minta surat yang menyatakan tempoh percutian anda serta tarikh anda akan kembali bertugas.

Persediaan rapi penting sebelum melakukan perjalanan supaya urusan percutan mudah. -Gambar hiasan
"Saya terbang dengan AirAsia X dan pegawai imigresen terus benarkan saya lepas tanpa sebarang soalan," jelasnya.
Perkongsian itu turut mendapat persetujuan ramai netizen yang mengakui kaedah sama pernah digunakan oleh mereka.
Malah, ada juga yang berkongsi tentang syarikat menyediakan sistem permohonan surat pengesahan pekerja secara dalam talian.
"Saya setuju. Syarikat saya di Malaysia memang buat begini. Mereka keluarkan surat rasmi lengkap dengan kepala surat, nama penuh seperti dalam pasport, jawatan dan gaji tahunan.
"Syarikat saya ada pautan khas untuk mohon surat pengesahan daripada HR. Kita sendiri boleh semak dengan HR masing-masing.
"Saya sediakan surat itu sebagai langkah berjaga-jaga, sekurang-kurangnya satu dokumen sokongan," komen beberapa netizen.


