suria

Dah 3 kali pergi, wanita ini kongsi 7 tip penting bercuti ke Korea Selatan orang lain jarang cerita! Elak bazir wang, masa dan tenaga

Lily berkongsi pengalaman selepas tiga kali ke Korea Selatan.

PASTI ramai antara kita yang sudah merancang percutian hujung tahun sama ada di dalam atau luar negara.

Bagi mereka yang bercadang untuk berkunjung ke Korea Selatan, berikut beberapa tip berguna yang dikongsikan oleh seorang wanita bernama Lily.

Dia membuat perkongsian berdasarkan pengalamannya sendiri setelah melancong ke negara itu sebanyak tiga kali secara DIY (do it yourself).

Katanya, semua tip yang dikongsikan adalah perkara-perkara jarang diceritakan pelancong lain yang pernah bercuti ke negara itu.

1. Perjalanan dari lapangan terbang ke Myeongdong

Menurut Lily, pelancong tidak digalakkan menaiki Airport Train apatah lagi jika membawa banyak bagasi kerana bahagian paling memenatkan ialah perjalanan dari stesen kereta api Seoul menuju ke Myeongdong.

Kebanyakan pelancong tidak menyedari bahawa laluan menuju Myeongdong mempunyai banyak tangga dan kemudahan lif pula sangat terhad.

Bagi memudahkan perjalanan, Lily menyarankan penggunaan Airport Limousine Bus kerana jauh lebih mudah dan selesa.

Antara kelebihannya:

a. Tiket boleh dibeli terus di lapangan terbang.

b. Pemandu membantu mengangkat bagasi.

c. Kerusi lebih selesa untuk perjalanan kira-kira 1 jam 30 minit.

d. Turun berhampiran kawasan Myeongdong.

Lily menyarankan hotel Skypark Myeongdong 1 sebagai tempat penginapan.

2. Penginapan: Guest house atau hotel?

Ramai pelancong kali pertama memilih guest house atau rumah tamu untuk berjimat, namun Lily menasihatkan supaya menilai semula pilihan tersebut.

Banyak rumah tamu di Myeongdong berada di kawasan berbukit, menyebabkan pelancong terpaksa mengheret bagasi menaiki cerun dan tangga sempit.

Lily menyarankan dua hotel pilihan:

a. Skypark Myeongdong 1 yang terletak dalam kawasan Myeongdong Street dan mudah untuk mencari makanan.

b. Ekonomy Hotel kerana lebih murah dan selesa, walaupun biliknya agak kecil.

Dia juga menyarankan supaya anda membawa seterika dan tuala mandi sendiri kerana berdasarkan pengalamannya, hotel hanya menyediakan tuala kecil.

3. Jangan terlalu teruja beli produk kecantikan

Walaupun Korea terkenal dengan barangan kecantikan, Lily menasihatkan pelancong supaya membuat perbandingan harga terlebih dahulu.

Menurutnya, banyak produk yang dijual di Malaysia melalui platform e-dagang sebenarnya lebih murah berbanding kedai fizikal di Korea.

Begitu juga pakaian di kawasan pelancong yang lazimnya dijual pada harga lebih tinggi.

4. Lokasi pilihan ketika berada di Korea

Antara lokasi yang meninggalkan pengalaman paling menyeronokkan buat Lily ialah:

a. Piknik dan berbasikal di Sungai Han

b. Suwon, sebuah kawasan bersejarah kira-kira dua jam dari Seoul

c. Gangneung, bandar tepi pantai dengan deretan kafe menghadap laut

Menurutnya, lokasi-lokasi ini menawarkan suasana Korea yang lebih tenang dan autentik berbanding lokasi pelancong popular seperti Namsan Tower atau perpustakaan ikonik COEX.

Pilih pengangkutan bas sekiranya berada di Seoul Station untuk ke destinasi seterusnya.

5. Jangan overpack

Kesilapan yang pernah dilakukan Lily ialah membawa terlalu banyak pakaian dan makanan.

Katanya, mengurus bagasi berat amat memenatkan, terutamanya jika perlu bertukar hotel atau melakukan perjalanan ke luar bandar Seoul.

6. Pengalaman sebagai wanita bertudung

Lily turut berkongsi bahawa wanita bertudung sering menjadi perhatian warga emas di Korea, khususnya di kawasan bukan pelancongan.

Menurutnya, dia pernah menerima pujian dan permintaan daripada penduduk tempatan untuk menaggalkan tudung kerana tidak biasa melihat individu berhijab.

Lily menambah bahawa ramai warga Korea di luar kawasan tumpuan pelancong kurang fasih berbahasa Inggeris, menyebabkan mereka kelihatan segan untuk berinteraksi.

Artikel Lain