SEORANG pelancong warga asing berkongsi pengalaman pahit ketika bercuti di Bali, Indonesia apabila mendakwa bilik hotelnya diceroboh individu tidak bertanggungjawab.
Menurut lelaki tersebut, kejadian berlaku sejam selepas dia mendaftar masuk ke hotel tersebut, namun segala detik berjaya dirakam menerusi kamera yang dipasang di biliknya.
"Dalam video, kelihatan seorang pekerja hotel masuk menggunakan kunci pendua. Insiden terjadi hanya satu jam selepas saya check in," dakwanya.
Dalam video tersebut, kelihatan seorang wanita menyelinap masuk ke bilik dan terus menyelongkar begnya untuk mencari barang berharga.
"Saya tinggalkan wang di tempat yang jelas (tepi beg) kerana tiada siapa sepatutnya masuk ke bilik. Saya letakkan (beg) di depan kamera supaya sekiranya ada yang mengambil, ia akan kelihatan jelas ketika dirakam," ujarnya.
Jelasnya lagi, meletakkan kamera secara tersembunyi adalah langkah pencegahan agar pencuri tidak meneruskan cubaan memeriks beg atau barang peribadinya yang lain.
Tambahnya lagi, video yang dikongsikan pada Oktober lalu ini bukan kejadian pertama berlaku ke atas dirinya sepanjang kunjungan ke Bali.
Sebelum ini, dia pernah mengalami situasi sama namun ketika itu tiada bukti rakaman, menyebabkan dia kerugian sekitar €350 (RM1,679).
Bagaimanapun pada kali ini, disebabkan mempunyai bukti, pihak hotel dikatakan telah mengambil tindakan pantas memberhentikan pekerja tersebut selain menawarkannya penginapan percuma selama tiga malam.
Pelancong berkenaan turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak meninggalkan barangan berharga di dalam bilik meskipun hanya keluar sebentar.


